Dikenali sebagai pembuat model lego atau lebih dikenali dengan nama lego builder, kerjaya tersebut terus mengangkat nama Siti Fatimah dan rakan-rakannya sejak sembilan tahun lalu.

Dia mengakui karier tersebut memberi ke­puasan tersendiri kera­na hasil kerja tangan mereka dipamerkan bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia.

“Ketika memohon pekerjaan ini, saya tidak berapa pasti apakah skop pekerjaannya, namun setelah menjalani temuduga tersebut, semakin timbul minat menjadi pembuat model lego.

“Mungkin kerana sejak kecil saya memang gemar bermain dengan permainan seperti ini ia­itu memasang blok mengikut kreativiti sendiri,” katanya ketika ditemui di Merlin Magic Making (MMM) Studios di I-Park Indahpura dekat sini, baru-baru ini.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu merupakan antara enam lego builder perintis bagi Legoland Malaysia Resort yang ketika ini sudah mempunyai 63 kakita­ngan dalam pelbagai unit.

Dia mengakui tidak pernah rasa bosan dengan pekerjaan yang dilakukannya kerana setiap hari, cabaran yang dihadapi berbeza.

“Antara kerisauan dalam pekerjaan ini adalah sekiranya berlaku kesilapan dalam pemasangan kerana kita menggunakan gam untuk memastikannya kekal dan sekiranya tersilap, perlu membukanya semula dan itu akan memakan masa.

“Kepuasan yang saya dapat menerusi pekerjaan ini adalah hasil kerja tangan kita dipamerkan untuk orang ramai melihatnya, bukan sahaja di dalam negara malah di Legoland Resort di seluruh dunia,” ujarnya.

Rakannya, Zafran Abdul Rauf, 28, pula memberitahu, kriteria utama bagi individu yang ingin menceburi bidang tersebut adalah minat dan kesabaran.

“Minat terhadap permainan lego dan membina model adalah sangat penting kerana jika seseorang itu tidak minat dalam bidang ini, sukar untuk dia bertahan lama.

“Selain itu, kesabaran yang tinggi juga diperlukan kerana setiap model mengambil masa untuk disiapkan. Ada antara model yang boleh siap dalam tempoh sehari tetapi ada juga yang memerlukan lebih satu bulan,” jelasnya.