Sebaliknya kata Pengarah MetMalaysia Johor, Amirzudi Hashim, apa yang berlaku sebenarnya adalah fenomena garis badai sekali gus berharap penduduk Pengerang tidak panik.

Jelas beliau, fenomena itu berlaku daripada kepulan awan dalam bentuk garis yang panjang dikenali sebagai garis badai dan merupakan perkara biasa ketika musim tengkujuh.

“Fenomena ini adalah perkara biasa kerana sejak 27 Oktober lalu, MetMalaysia telah mengeluarkan peringatan mengenai musim tengkujuh berikutan peralihan angin monsun timur.

“Garis badai merupakan bentuk kepulan awan yang berbentuk garis panjang menunjukkan hujan telah turun di satu-satu kawasan itu,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Terdahulu, video beserta gambar menunjukkan kepulan awam pelik di Pengerang tular sekali gus merisaukan banyak pihak yang mendakwa fenomena itu sebagai tanda awal tsunami.

Dalam pada itu, Amirzudi menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan setiap pengumuman dilakukan MetMalaysia daripada semasa ke semasa melalui media sosial dan aplikasi yang disediakan pihaknya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan boleh menghubungi talian 1-300-22-1638 atau melayari laman web www.met.gov.my untuk mengetahui informasi terkini

mengenai ramalan serta amaran yang dikeluarkan.

“Mereka juga yang ingin mengetahui informasi terkini boleh memuat turun aplikasi mycuaca yang telah disediakan pihak kami,” katanya. - UTUSAN ONLINE