Oleh kerana baru menceburi sukan berkenaan, mereka turut didedahkan dengan peralatan permainan itu low bow yang merupakan busur paling asas, busur asas recurve, anak panah nocks, fletchers (sayap), arrow points (mata anak panah), finger tabs (pelindung jari), arm guards (pelindung lengan), quivers (kantung anak panah) dan chest guard (pelindung dada).

Namun tidak lengkap tanpa menyebut pemanah handalan dunia dari Korea Selatan yang meng­unguli acara tersebut semasa Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil seperti Ku Bon-Chan, Kim Won Jin, Lee Seung Yun bagi acara lelaki dan Chang Hye Jin, Choi Mi Sun dan Ki Bo Bae kategori wanita yang masing-masing memenangi pingat emas bagi acara individu serta berpasukan.

Bagi negara ini, nama-nama besar dalam acara tersebut ialah Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Rizah Ishak, Saritha Cham Nong, Zul­fadhli Ruslan, Cheng Chu Sian, Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Nurul Syafikah Hashim.

Justeru, bagi melahirkan lebih ramai pemanah berbakat pada masa depan, Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor mengorak langkah bagi mencari ‘Robin Hood’ menerusi penganjuran Sirkit Remaja Johor 2018 yang melibatkan acara memanah, silat, basikal dan ka­yak.

Pegawai Belia dan Sukan negeri, Mohammad Taqiyudin Poniran selaku Penyelaras Sirkit Johor berkata, kali terakhir acara memanah menyumbang emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun 2010 dan selepas itu Johor ketandusan kilauan emas dalam sukan berkenaan.

Menurutnya, hasil perbinca­ngan dan kajian yang dilakukan masalah tersebut disebabkan nege­ri ini tidak mempunyai pe­rancangan pembangunan di pe­ringkat akar umbi di daerah-dae­rah seperti negeri lain terutamanya Selangor yang kini me­nguasai sukan tersebut.

“Hasilnya MSN dengan kerjasama Majlis Sukan Daerah (MSD) serta sokongan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta sekolah-sekolah telah menganjurkan pertandingan memanah bawah umur 16 tahun di setiap daerah.

“Kejohanan ini mendapat kerjasama baik daripada ibu bapa serta anak-anak yang berminat dalam sukan berkenaan dan sekolah-sekolah juga mempunyai program pembangunan masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis penyampaian hadiah kejohanan tersebut.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Shukri Mohd. Masbah yang juga Pengerusi Persatuan Memanah Johor.

Mohammad Taqiyudin me­ngakui sirkit kejohanan itu berjaya mencungkil bakat pemanah muda untuk diketengahkan di peringkat negeri suatu masa nanti kerana pemanah terbaik dipilih untuk mewakili daerah masing-masing dalam Sukan Johor yang akan diadakan tahun depan, sekali gus berpeluang diserapkan sebagai atlet Sukma Johor pada 2020.

Menurutnya, pembangunan sukan tersebut di peringkat akar umbi tidak terhenti sehingga Sukma yang akan diadakan di negeri ini, malah berterusan bagi melahirkan lebih ramai pemanah negara.

Ujarnya, Sirkit Remaja Johor yang dijadikan sebagai acara tahunan juga merupakan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) bagi MSN bagi memastikan acara-acara tersebut tidak ketandusan bakat baharu.