Mereka yang sebahagian besarnya terdiri daripada pelatih-pelatih KKBN memberi khidmat menerusi Program Insaniah Khidmat Masyarakat anjuran Maj­lis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Pegawai Tadbir Agama Pejabat Agama Daerah Pontian, Mohd. Khalil Md. Noor berkata, lima buah rumah golongan asnaf dibaiki secara bergotong-royong termasuk kerja-kerja mengecat dan membersihkan kawasan persekitaran supaya lebih selesa untuk didiami.

“Surau Al-Hidayah di kampung tersebut turut dicat baharu dengan gandingan sukarelawan dan penduduk kampung bagi memastikan rumah Allah itu ceria dan cantik.

“Pendekatan turun padang oleh MAINJ dibantu golongan muda dan penduduk kampung diharap dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara agensi kerajaan dengan orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program ber­kenaan.

Majlis perasmian program berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Md. Rofiki Shamsudin.

Yang turut hadir, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Bahagian Tanjung Piai, Md. Israk Abdullah; Penghulu Mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja, Zool Shuhaifi Hashim dan Ketua Kampung Kawasan (5) Mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja, Mohd. Najib Yunos.

Mohd. Khalil menambah, program sehari itu juga bertujuan mempertingkatkan imej dan pe­ranan MAINJ sebagai agensi yang bertanggungjawab menjaga kebajikan umat Islam.

Menurut beliau, peserta-peserta program turut melakukan zia­rah ke rumah mereka yang kurang bernasib baik dengan menunggang motosikal bagi mendekati golongan berkenaan.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Ahasminah Umar, 49, bersyukur kerana rumah pe­ninggalan arwah suaminya dipilih oleh MAINJ untuk dibaiki sempena program tersebut.

“Rumah ini dibina oleh arwah suami 10 tahun lalu dengan menggunakan wang sendiri tetapi tidak berlepa kerana kekurangan modal,” jelasnya.

Dia memberitahu, enam anaknya yang berumur antara enam hingga 29 tahun tinggal bersamanya di rumah itu dan mereka turut menerima bantuan bulanan daripada MAINJ.