Seiring dengan setengah abad usia penubuhannya, pelbagai ke­nangan pahit manis telah ditempuhi oleh warga sekolah berkenaan yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Masai.

Menyingkap kembali sejarah sekolah itu pada 1965, Pengetuanya, Abdul Halil Abu Bakar berkata, kumpulan pertama sekolah itu terdiri daripada 77 pelajar dengan tujuh orang guru.

“Pada waktu itu, pelajar me­numpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Masai memandangkan bangunan sekolah masih belum siap dibina, namun sedikit demi sedikit pembangunan sekolah ini dijalankan sehinggalah kita tidak perlu lagi menumpang.

“Mulai 1 Februari 1986, Sekolah Menengah Masai telah ditukar namanya menjadi Sekolah Mene­ngah Kebangsaan Dato’ Penggawa Timur. Nama baru sekolah ini diambil sempena nama jawatan pembesar bergelar Dato’ Penggawa Timur yang menjadi wakil Sultan Johor mulai tahun 1883 untuk mentadbir dan mengawal keselamatan di timur negeri ini,” katanya pada majlis sambutan 50 Tahun sekolah itu, baru-baru ini.

Majlis perasmian sambutan tersebut disempurnakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad.

Abdul Halil berkata, sekolah itu akhirnya ditukar nama kepada SMKDPT pada 1 Januari 1990 dan jumlah tenaga pengajar dan pelajarnya terus bertambah saban tahun.

Pelbagai pencapaian dan anuge­rah telah diperoleh sekolah itu, antaranya Anugerah Sekolah Cemerlang Tahun 2007,

Anugerah Pengurusan Terbaik 3K (Kebersihan, Keceriaan & Keselamatan) Peringkat Kebangsaan Tahun 2008 dan Anugerah Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) Tahun 2013.

“Pencapaian paling membanggakan ialah melalui aktiviti Kebitaraan Sekolah (subjek Sains) yang me­rangkul pelbagai anugerah inovasi di peringkat luar dan dalam negara.

“Antaranya pingat perak Asian Young Inventors Exhibition pada tahun lalu, tempat keempat Anugerah Inovasi Negara pada Februari lalu dan seterusnya pingat emas dalam International Young Inventors Award di Jakarta, Indonesia pada Mei lalu selain pingat perak World Invention and Inovation Contest di Korea pada Jun lalu,” katanya.

Mengulas sambutan ulang tahun tersebut, Abdul Halil berkata, program itu dianjurkan bertujuan untuk menghargai segala usaha serta sumbangan seluruh warga sekolah, termasuk bekas guru dan pelajar sepanjang 50 tahun penubuhannya.

Bagi merancakkan sambutan berkenaan, pelbagai aktiviti diadakan sejak April lalu, antaranya Majlis Makan Malam Alumni 50 Tahun, Program Larian Penggawa 50 Tahun dan Program Kebitaraan Sains Bersama Angkasawan Negara, Datuk

Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

“Sebagai memperingati jasa serta pencapaian bekas guru, pelajar dan warga sekolah, kita telah mengambil inisiatif menerbitkan sebuah buku Memoir 50 Tahun bagi menghimpunkan tokoh-tokoh guru dan pelajar sejak dahulu hingga kini.

“Sebagai pengetua, saya amat berbangga kerana menjadi sebahagian daripada warga SMKDPT dan berharap lebih banyak kejayaan akan dicipta sekolah ini pada masa hadapan,” katanya.