Demikian sabda Rasulullah SAW tentang aktiviti memanah diamalkan baginda ketika berperang dengan musuh-musuh Islam yang mengancam baginda dan umat Islam dahulu.

Memanah kini bukan sahaja dijadikan sukan sehingga ke peringkat antarabangsa tetapi aktiviti yang sesuai dimainkan oleh pelbagai lapisan umur itu juga dianggap sebagai terapi untuk melatih diri agar kekal fokus, tenang dan berdisiplin.

Lantaran itu, sekumpulan anak muda menubuhkan Muslim Outdoor Team (Moteam) bagi menyediakan permainan tersebut di Kampung Sri Tanjung, Panchor di sini pada setiap Jumaat.

Sesi yang berlangsung selama dua jam bermula pukul 4.30 petang itu bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai kehebatan panahan ke sasaran tetapi jauh lebih utama adalah dapat mengeratkan silaturahim melalui aktiviti sunah Rasulullah.

Lebih menarik, sebaik jam berdetik ke angka 6.30 petang, satu tazkirah ringkas selama lima hingga 10 minit disampaikan pasukan Moteam kepada pengunjung.

Menurut Pengurus Moteam Kawasan Pagoh, Anas Rosli, memanah tidak semudah yang disangka kerana permainan itu memerlukan tahap ketenangan yang tinggi serta mesti kekal fokus pada setiap masa.

Ujarnya, perkara utama yang harus diingat oleh pemanah adalah keselamatan kerana aspek tersebut amat penting ekoran anak panahnya boleh mencederakan orang sekeliling jika tidak diambil berat.

“Faktor utama Moteam adalah mewujudkan aktiviti ini bagi membantu mengatasi gejala sosial terutama dalam kalangan remaja selain ia permainan sunah Rasulullah.

“Lagipun, kos aktiviti ini tidaklah terlalu tinggi, namun kami membuka penyertaan kepada kanak-kanak berumur 11 tahun ke atas. Mungkin ada yang pertama kali memegang busur tapi jangan bimbang, ada fasilitator akan membantu di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Anas menambah, Moteam menyediakan busur tradisional dan moden kepada pengunjung yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

“Bagi yang menggunakan busur moden, pelbagai alat bantuan tersedia pada peralatan tersebut dan ini memudahkan pemanah terutamanya yang baru berjinak-jinak dengan permainan ini.

“Tetapi jika mereka menggunakan busur tradisional yang 100 peratus perlu dikendalikan secara manual, mereka akan lebih cekap apabila menggunakan busur moden,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Moteam, Ahmad Haris Abdul Kadir memberitahu, idea menghidupkan aktiviti memanah tercetus pada sesi mengaji al-Quran antara dirinya dengan fa­silitator Moteam yang lain.

“Setiap kali mereka mengaji dengan saya, kami berbincang bagaimana untuk menarik anak muda kepada aktiviti yang santai dan bermanfaat termasuk dapat menyelit sedikit sesi tazkirah.

“Daripada sunah Rasulullah, kita pecah kepada banyak kebaikan seperti hikmah kesihatan dan meningkatkan daya intelektual.

“Faktor kesihatan dapat dirasai ketika mereka meregang badan dan otot dengan cara paling mudah iaitu tidak perlu berlari-lari, maka secara tidak sedar sesi regangan otot telah dilakukan,” katanya.

Bagi faktor intelektual, Ahmad Haris berkata, ramai yang tidak perasan hatta orang yang sedang memanah sendiri bahawa aktiviti itu melatih daya fokus terutama para pelajar, membuatkan mereka cerdas untuk belajar.

Malah kata beliau, aktiviti memanah juga tidak terhad kepada masyarakat Islam semata-mata tetapi sangat mengalu-alukan penyertaan kaum lain.