Namun tuntutan perubahan itu tidak seharusnya menghakis nilai dan jati diri seseorang individu khususnya generasi muda.

Bagi melahirkan modal insan seimbang bukan sahaja dalam bidang akademik dan sahsiah, Jabatan Pendidikan Negeri Johor mengambil inisiatif melancarkan program Karektor Murid Johor (KrMJ) bermula tahun ini.

Menurut Timbalan Pe­ngarah JPN Johor, Azman Adnan, inisiatif bagi memastikan murid dan pelajar negeri ini mempunyai jati diri kukuh merupakan cetusan idea daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menurutnya, baginda pernah bertitah mahukan apabila orang luar bercakap dengan seorang kanak-kanak, boleh kenal bahawa mereka adalah rakyat negeri ini.

Menurutnya, baginda pernah bertitah mahukan orang Johor mempunyai karektor dan 'identitinya' sendiri.

“Contohnya apabila orang luar bercakap dengan seorang kanak-kanak, mereka boleh kenal budak tersebut merupakan rakyat nege­ri ini.

“Bagi merealisasikan idea itu, JPN negeri melancarkan KrMJ yang bermatlamat melahirkan murid dengan karektor yang terserlah, disanjung, dipandang tinggi dan dikenali.

“Lima objektif dirangka iaitu bagi membina individu yang berkebolehan dan berperadaban, membangun daya kepimpinan berkualiti, menjalin kerja­sama, perpaduan dan muafakat serta menyemai sifat cintakan sejarah dan seni budaya tempatan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pelaksanaan program KrMJ itu dilakukan menerusi tiga fasa. Fasa pertama dimulakan dengan keseragaman pema­kaian T-shirt, budaya bersalam, nya­nyian lagu patriotik dan amalan doa.

Fasa kedua memberi penekanan kepada penampilan melalui potongan rambut yang kemas selain pemahaman mengenai budaya tempatan yang penuh de­ngan sifat kesantunan.

Fasa ketiga pula menyaksikan penerapan budaya kepimpinan kepada murid dan pelajar melalui aktiviti dan program yang dikendalikan mereka sendiri.

Pelancaran KrMJ Peringkat Negeri Johor 2017 disempurnakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai, Pasir Gudang, dekat sini baru-baru ini.

Majlis berkenaan dilancarkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat.

Menurut Ayub, KrMJ merupakan satu medium bagi membantu membina generasi muda dengan jati diri yang seimbang.

“Inisiatif yang dilaksanakan JPN negeri ini selari dengan matlamat gagasan Johor Berkemajuan yang diilhamkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.