Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, satu mekanisme akan dibincangkan sebelum peruntukan khas disalurkan bagi mengatasi masalah di kedua-dua daerah bersebelahan itu yang kedudukannya hampir dengan laut.

“Mungkin kita perlu buat ben­teng. Sekiranya parit baharu dibuat untuk mengalirkan air termenung keluar, bagi mengatasi masalah banjir akibat daripada air pasang laut, masalah ini tidak akan selesai.

“Ini kerana permukaan tanah di Batu Pahat dan Muar adalah rendah serta rata yang sama paras dengan air laut. Apabila air pasang besar berlaku air termenung yang kadang-kadang sampai dua minggu lama­nya,” katanya selepas meninjau perkembangan projek naik taraf jambatan Parit Keliling dengan kos RM7.688 juta di Jalan Peserai, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Dalam pada itu, Fadillah ber­puas hati dengan jalan-jalan Per­sekutuan di negeri ini terutamanya di Tangkak, Muar dan daerah ini khususnya melibatkan aspek penyelenggaraan yang dilakukan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Jelasnya, sebarang masalah jalan Persekutuan yang dibangkitkan pemimpin setempat dalam kunjungannya ke negeri ini akan diselesaikan bagi memastikannya berada dalam keadaan baik dan selesa.

Mengenai projek menaik taraf jambatan Parit Keliling, beliau berkata, kerja-kerja membina jambatan baharu itu bermula 13 Januari tahun lalu dan dijadualkan siap pada 13 Jun ini.

“Antara kawasan sekitar yang turut menerima perubahan akibat pembinaan jambatan itu adalah kawasan Peserai, Kampung Bintang, Simpang Lima serta penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah,” katanya.