Yang Dipertuanya, Kamalu­ddin Jamal berkata, usaha itu juga bertepatan dengan misi dan visi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) yang inginkan sebuah bandar yang berdaya maju, sejahtera dan mapan kepada semua golongan.

Beliau berkata, draf rancangan tempatan kali ini berbeza dengan kajian Rancangan Kajian Tempatan Daerah yang diguna pakai sebelum ini yang menggabungkan dua daerah, iaitu Pontian dan Batu Pahat.

“Penggantian kepada Ranca­ngan Tempatan Daerah (RTD) di­sebabkan kepada empat perkara, iaitu persempadanan baharu pihak berkuasa tempatan (PBT), kewujudan dasar dan pelan stra­tegi pembangunan, tekanan pembangunan dan penyediaan pelan pembangunan,” katanya semasa merasmikan Sesi Town Hall: Program Publisiti Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah (Penggantian) 2030 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini baru-baru ini.

Kamaludin berkata, Draf Rancangan Tempatan Daerah Pontian akan melalui tempoh publisiti selama sebulan bermula 21 Oktober lalu hingga 21 November ini bagi mendapat pandangan daripada orang ramai.

“Tempoh selama sebulan akan memberikan peluang kepada penduduk Pontian untuk memahami dengan jelas konsep serta perancangan yang diatur bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang,” katanya.

Katanya, pendekatan dan kaedah penyampaian secara program publisiti dapat membantu kerajaan negeri dan daerah dalam melak­sanakan cadangan tersebut.

Kejayaan rancangan tersebut akan menjadi penggerak dan aspirasi bagi gagasan Johor Berkemajuan bagi melahirkan sebuah masyarakat yang maju dan seimbang dalam semua aspek kehidupan.