Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, suspek yang berusia 32 tahun ditemukan mati di belakang rumah tersebut dengan beberapa kesan luka.

“Terdapat luka di belakang kepala kiri dan kanan dipercayai disebabkan senjata pisau pemotong sayur yang dijumpai di tempat kejadian. Suspek luka parah di belakang kepala.

“Juga luka di belakang tangan kiri dari siku ke bawah dan ke atas. Sementara mangsa lelaki berusia 32 tahun itu pula luka di kepala kiri dipercayai disebabkan senjata pemutar skru yang dijumpai di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, kejadian bermula apabila suspek masuk ke rumah mangsa melalui tingkap tandas belakang bersebelahan dapur yang diumpil dari luar.

“Suspek pecahkan pintu bilik utama dan terus mengugut dengan menggunakan pemutar skru supaya menyerahkan barang-barang berharga miliknya yang ketika itu berada dalam bilik.

“Suspek menggeledah bilik kedua dan ketiga dipandu mangsa yang dalam ketakutan kerana suspek bersenjatakan pemutar skru,” katanya.

Katanya lagi, suspek kemudian membuka pintu dapur untuk melarikan diri dan ketika itu mangsa berjaya mencapai sebilah bilah pisau pemotong sayur anggaran ukuran 22 sentimeter.

Kemudian katanya, mangsa kemudian mengarahkan suspek memulangkan semula barang-barang miliknya enggan lalu berlaku pergelutan sebelum suspek mati. - UTUSAN ONLINE