Dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, Md. Khairul Khalid, 37, dalam perjalanan ke sekolah berhampiran untuk membawa pulang anaknya yang merupakan murid tahun satu dan lima.

Bagaimanapun, setibanya mangsa di lokasi kemalangan, motosikal Honda Wave ditunggangnya bertembung dengan kereta Proton Saga FL sebelum terjunam ke tebing jalan berdekatan perumahan generasi kedua.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitenden Ahsmon Bajah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mang­sa telah menghimpit ke kanan jalan sebelum dirempuh Proton Saga FL yang pada masa itu sedang membelok.

“Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua kenderaan ja­tuh ke dalam tebing jalan sebe­lah kiri setinggi kira-kira 11 meter dan terbalik.

“Kesemua mangsa kemu­diannya dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, pada pukul 3.30 petang pihak HKT mengesahkan penunggang motosikal itu meninggal dunia akibat kecederaan dalaman ketika mendapatkan rawatan di HKT.

Sementara itu, kakak ipar mangsa, M. Yuslina Mohd. Basar, 42, berkata, memang menjadi rutin harian mangsa yang bekerja kampung mengambil dua anaknya pulang dari sekolah setiap hari.

Katanya, mangsa yang memiliki empat anak termasuk seorang bayi berusia tiga bulan menetap di rumah ibu mertua­nya di Felda tersebut.

Tambahnya, jenazah mang­sa dibawa pulang ke Kulai dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 24.