Pengerusinya, Kathryn Lee Hwee Ching berkata, lebih 12,000 pengunjung dijangka mengunjungi ekspo berkenaan yang disertai 125 pempamer terdiri daripada agensi pelancongan, pengusaha resort, hotel dan taman tema.

Beliau berkata, ekspo kali ini turut mendapat kerjasama daripada Tourism Johor, Pertubuhan Pelancongan Korea (KTO) dan Pejabat Pelancongan Kerajaan Macau (MGTO).

“Sasaran jualan pada ekspo kali ini mampu dicapai berdasarkan pelancaran beberapa penerbangan terus yang baharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) ke negara seperti Korea Selatan dan Macau pada tahun lalu.

“Langkah itu sekali gus dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk mendapatkan pelbagai tawaran istimewa yang daripada agensi pelancongan yang mengambil bahagian,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Bendahari Kehormat MATTA Johor serta dua ahlinya, Andy Goh dan Mohd. Adam Jalil.

Kathryn berkata, pengunjung hanya perlu membayar RM3 bagi dewasa, manakala percuma untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun serta berpeluang menyer­tai cabutan bertuah yang disediakan.

Menurutnya, pengunjung yang membuat tempahan pakej pelancongan sebanyak RM500 ke atas juga berpeluang memenangi baucer pelancongan keseluruhannya berjumlah RM88,888.

Ekspo seterusnya akan diadakan pada 28 dan 29 Julai di Batu Pahat Summit Mall dan 3 hingga 5 Ogos di lokasi yang akan diumumkan kemudian.