Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, fasa terbaharu itu melibatkan lima pihak berkuasa tempatan (PBT) dan setiap pelan tindakan mengiktiraf serta bertindak balas terhadap ekonomi, sosial, alam sekitar dan isu-isu dalam setiap PBT.

“Usaha ini penting supaya matlamat mewujudkan persekitaran yang lebih baik dan bersesuaian dengan keperluan PBT masing-masing dapat dicapai berban­ding satu penyelesaian bagi semua,” katanya dalam ucaptama sempena Forum Antarabangsa Bagi Kemapanan Asia dan Pasifik (ISAP) di Tokyo, Jepun semalam.

Forum itu merupakan acara sampingan bagi misi pelaburan Johor Corporation (JCorp) yang diketuai beliau selaku pengeru­sinya ke negara Matahari Terbit berkenaan.

Mohamed Khaled berkata, fa­sa pertama pelan itu dilancarkan pada 2015 dengan 35 daripada 281 program yang terkandung di dalamnya telah dilaksanakan setakat ini bagi mewujudkan per­sekitaran yang lebih mapan di wilayah ekonomi berkenaan.

Menurutnya, pelaksanaan program tersebut yang mendapat kerjasama daripada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskan­dar (IRDA) dan agensi swasta juga berjaya menarik pengiktirafan da­ri­pada pelbagai pihak, khususnya di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan itu termasuk pengiktirafan Iskandar Malaysia sebagai sebuah daripada 10 bandar dan rantau di bawah Projek Tenaga Mapan Bagi Semua (SE4ALL) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

“Selain itu, ia membantu penubuhan Pusat Masyarakat Rendah Karbon Asia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini pada Oktober 2013 yang berpera­nan menjadi pusat rujukan utama bagi inisiatif masyarakat rendah karbon meliputi keseluruhan rantau ASEAN,” katanya.