Pengerusi masjid, Md. Ilham Mahujan berkata, program wakaf bagi membeli van tersebut telah dilancarkan pada Janua­ri lalu bagi memenuhi keperluan penduduk dalam pengurusan jenazah dan pihaknya memberikan peluang kepada orang ramai untuk bersama-sama membuat amal jariah dengan memberikan sumbangan.

Menurutnya, selain maklu­mat yang dihebahkan oleh pihak masjid, hebahan turut dilakukan menerusi media sosial yang nyata memberikan maklum balas baik daripada masyarakat.

“Ada seorang penderma dari Kuala Lumpur telah menyumbang sebanyak RM40,000 apabila mengetahui program wakaf tersebut,” katanya ketika majlis penye­rahan van jenazah kepada Imam Masjid Jamek Pekan Nanas, Khali­min Sarmon, di sini baru-baru ini.

Md. Ilham berkata, kos ke­se­luruhan van jenazah je­nis Nissan tersebut seba­nyak RM123,028.93 dengan RM114,887 merupakan hasil sumbangan yang diterima daripada orang ramai dan pihak masjid menambah RM8,141.93.

Beliau berkata, pihak masjid telah melantik dua petugas bagi menguruskan perjalanan ken­deraan tersebut dengan bayaran RM100 bagi masyarakat setempat yang menggunakannya.

Orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan van jenazah tersebut boleh menghubungi pihak pentadbir masjid dan terbuka kepada penduduk di kawasan Pekan Nanas dan kawasan sekitarnya.

Sementara itu, Khalimin memberitahu, walaupun baru dinaik taraf pada tahun lalu, namun masjid tersebut masih tidak dapat menampung jemaah yang semakin bertambah termasuk pekerja asing terutamanya dari Bangladesh untuk menunikan solat Jumaat pada setiap minggu.

Malah, pada solat Aidilfitri dan Aidiladha, jumlah jemaah mencecah sehingga 2,000 orang, katanya.