Martabak Gelang Serai atau le­bih dikenali dengan panggilan martabak Singapura sememang­nya bukan asing di sini kerana boleh diperoleh di beberapa restoran di sini dan di Tangkak.

Namun setiap kali Ramadan, makanan tersebut menjadi tum­puan dan kadang-kadang saiz serta rasanya berbeza dan istimewa daripada hari-hari biasa.

Justeru tidak hairan jika di mana sahaja pengusaha makanan itu, Nasri Ibrahim, 45, membuka gerai bergeraknya, tetap menjadi tumpuan ramai.

Beliau yang menjadi seorang daripada penyewa bazar Ramadan anjuran Majlis Perbandaran Muar (MPM) di Stadium Sultan Ibrahim di sini menawarkan makanan itu pada setiap hari.

“Alhamdulillah, sambutan orang ramai amat memuaskan sejak ka­mi membukanya sejak awal puasa,” katanya ketika ditemui di bazar Ramadan itu semalam.

Beliau mewarisi perniagaan makanan itu daripada ayahnya, arwah Ibrahim Kamu yang membuka restoran makanan tersebut di Gelang Serai sejak tahun 80-an dulu.

Kata Nasri, keluarganya berhij­rah ke Shah Alam pada 1996 dan kemudian berniaga di Seremban, Negeri Sembilan hingga tahun 2000.

“Selepas ayah meninggal dunia, pada tahun 2000, kami mengambil keputusan pindah ke Muar dan meneruskan perniagaan di pasar-pasar malam sekitar daerah Muar dan Tangkak,” ujarnya.

Mengenai martabak buatannya, selain dari martabak daging lembu dan ayam, dia memperkenalkan martabak chese.

Martabak asli keluarannya dijual pada harga RM6 untuk saiz kecil dan RM10 bagi yang besar manakala martabak chese dijual pada harga RM15 dan RM20 untuk kedua-dua saiz.