Setiausaha Sekretarirat IPNM 2018, Johari Abd. Razak berkata, daripada jumlah tersebut, 6,106 adalah peserta dari negara ini manakala baki 244 dari luar negara antaranya Brunei, Singapura, Indonesia, Australia, Switzerland, Jepun, Itali, Kenya, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata, IPNM buat tahun kedua penganjurannya itu merupakan acara sukan pelancongan antarabangsa tahunan negeri dan dibuka pendaftaran penyertaannya secara atas talian berakhir pada 31 Januari lalu.

“Acara ini menawarkan empat kategori utama terbuka lelaki dan perempuan iaitu 52 kilometer (KM) Full Marathon, 21KM Half Marathon, 10KM Competative Run dan 5KM Fun Run.

“Ia bakal menawarkan ha­diah wang tunai dan trofi bernilai RM97,000 untuk 10 pemenang utama di samping peluang membawa pulang pelbagai hadiah cabutan bertuah bernilai hampir RM100,000,” katanya dalam sesi memperkenalkan penaja di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir adalah Pengarah Tourism Johor, Abdul Malik Ismail.

Maraton tersebut dianjurkan Intan Jauhar Sdn. Bhd. dengan kerjasama kerajaan negeri dan disokong Tourism Johor, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Sukan Negeri Johor dan Persa­tuan Olahraga Johor.

Johari yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Intan Jauhar Sdn. Bhd. berkata, berkonsepkan Larian Muafakat, acara berke­naan yang diinspirasikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bertujuan mempromosikan Iskandar Malaysia dan negeri ini terutama dalam sukan maraton di peringkat dunia.

Katanya, bagi menarik penyertaan dalam kalangan rakyat, hadiah berupaya wang tunai keseluruhannya bernilai RM27,000 akan diberikan kepada peserta tempatan terbaik dari setiap kategori.

Menurut beliau, peserta yang mengambil bahagian juga berpeluang membawa pulang cabutan bertuah utama berupa sebuah kereta Perodua Bezza 1.0 Stan­dard G.