Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, kawasan tersebut diakui oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai Parlimen yang mempunyai paling banyak gelanggang tersebut dan berharap penduduk setempat memanfaatkannya sebaik mungkin.

Beliau berkata, pembinaan ge­langgang futsal sejak 2009 mampu menampung kekurangan kawasan riadah untuk bersukan bagi golongan muda terutamanya di kawasan luar bandar yang tiada mempunyai padang.

“Kami berharap kemudahan ini diurus serta dijaga dengan baik agar dapat digunakan oleh semua pihak termasuk kampung-kampung yang berhampiran,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan pertandingan Futsal Piala Tok Mat di gelanggang futsal Komplek Penghulu Api-Api, di sini semalam.

Yang turut hadir, Penghulu Mukim Pontian, Norazman Misran; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Muhd. Helmi Buang dan Ketua Kampung Kawasan (3) Mukim Api-Api, Mohd. Yusof Yunos.

Sebanyak 48 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan tahunan tersebut di dua lokasi, iaitu di gelanggang futsal Komplek Penghulu Api-Api dan Kampung Parit Betak, Benut.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bertujuan me­ngerat­kan hubungan antara golongan muda dengan pemimpin setempat.

“Keakraban antara anak muda dengan pemimpin penting agar mereka tidak lari dari hala tuju kerajaan serta menjauhkan diri dan terlibat dalam perkara-perkara tidak diingini,” katanya.