Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R. Vidyananthan berkata, pengetahuan terkini berkenaan aspek keselamatan membabitkan persekitaran dan alatan yang digunakan perlu bagi mengelakkan berlakunya sebarang kemalangan.

“Tanggungjawab tersebut seharusnya dipikul secara bersama kedua-dua pihak dalam memastikan persekitaran kerja dalam keadaan selamat. Sekiranya aspek keselamatan diberi penekanan, pastinya kita dapat mengelakkan atau mengurangkan risiko terjadinya kemalangan dalam melakukan tugas.

“Oleh yang demikian, adalah amat perlu untuk pihak majikan serta pekerja mengikuti program seperti seminar dan kursus yang memberi maklumat berkaitan aspek keselamatan,” katanya semasa hadir merasmikan program Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Md. Za'nal Misran dan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Ir. Kormain Mohd. Noor.

Seminar yang diadakan buat kali ke-31 itu bertujuan untuk memaklumkan perkembangan semasa berkaitan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja serta membantu sektor perindustrian menyelesaikan permasalahan yang timbul berhubung aspek tersebut.

Menurut Vidyananthan lagi, usaha yang diambil MPPG dalam menganjurkan program sedemikian sejak tahun 1998 seharusnya menjadi contoh dan ikutan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain, khususnya kawasan yang terlibat dengan sektor perindustrian.

“Secara tidak langsung, pemain-pemain industri juga dapat menjalin kerjasama baik bukan sahaja dengan pihak kerajaan, tetapi juga sesama mereka khususnya apabila berhadapan sebarang situasi,” tambahnya.