Hasilnya bukan sahaja dipe­ngaruhi kepakaran atau kreativiti sebaliknya juga emosi, penghayatan, kesabaran, kecekalan dan ‘air tangan’ pembuatnya.

Sebagai contoh, membuat kek adalah satu seni. Apatah lagi menghasilkan kek dalam pelbagai reka bentuk yang sudah tentu mencabar, menguja dan menuntut ketelitian.

Mad About Cake (M.A.C) di Taman Daya di sini merupakan kedai yang mengambil tempahan menghasilkan kek dalam apa juga bentuk atau rekaan mengikut kehendak pelanggan.

Sama ada kek berbentuk kereta, beg tangan, menara, watak kartun atau apa sahaja, semuanya boleh dihasilkan mengikut selera atau kemahuan pembeli.

Pemiliknya, Chef Wan Noor Zamran Hashim, 47, berkata, pihaknya menghasilkan kek pelbagai bentuk untuk majlis perkahwinan, harijadi, hantaran, korporat dan majlis keraian lain.

“Kek M.A.C. berasaskan mentega dan coklat. Kita fokus pada dua perasa ini kerana kita tidak mahu meletakkan sampai 10 perasa kek tetapi apabila diminta tidak dapat memenuhinya.

“Harga satu kek berupa bentuk adalah RM280 ke atas dan bergantung saiz, tempahan dan kehendak pelanggan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun ujar Wan Noor Zamran yang dibantu tiga pekerjanya, kedainya yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 9 malam tidak menolak sekiranya ada pe­langgan mahu menempah kek biasa.

M.A.C katanya, tidak mahu menghampakan pelanggan yang datang dan harganya juga boleh dibincang mengikut bajet, apa yang paling penting mereka berpuas hati.

Selain menghasilkan kek pelbagai bentuk, beliau berkata, M.A.C. juga menghasilkan 15 jenis biskut antaranya suji badam, cornflakes, tat nanas dan tat natela.

M.A.C juga menghasilkan biskut coklat cip sendiri yang sudah dipatenkan dan dinamakan sebagai Cookies Most Wanted (CMW). CMW merupakan produk sulung M.A.C yang semakin digemari kerana rasa­nya yang ra­ngup dan kurang manis.

Selain CMW, katanya yang mempunyai pelabelan dan pembungkusan sendiri, M.A.C amat terkenal dengan biskut Oat and Raisin serta Custard Conflakes yang mendapat permintaan setiap masa.

Menurutnya, biskut-biskut itu dijual sepanjang tahun dan menerima tempahan berganda pada musim perayaan dan rasanya berbeza kerana pihaknya tidak lokek dengan adunan bahannya.

Dijual pada harga RM15 hingga RM20 untuk satu balang dan pada musim pe­rayaan antara RM30 hingga RM35 satu balang kerana berbeza saiznya. M.A.C turut memili­ki booth di Komtar JB­CC di sini.