Tungku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, industri tersebut merupakan satu syiar Islam yang menjadi tuntutan dan perlu ditadbir urus dengan teratur serta baik.

Merujuk kepada Majlis Halal Negeri Johor yang baru ditubuhkan bulan lalu, beliau berkata, organisi tersebut diletakkan di bawah seliaan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Ianya berfungsi bagi mengawal industri halal serta mempromosikan produk-produk halal Johor ke pasaran yang lebih luas,” katanya ketika berucap dalam Majlis Multaqa Ulama Kali Ke-7 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini sebentar tadi.

Terdahulu Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin ketika berucap dalam majlis tersebut mengumumkan penubuhan Majlis Halal Negeri Johor yang berkuatkuasa pada 20 Mac lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, masjid adalah sebuah tempat suci dan amat penting untuk orang Islam melakukan ibadah selain rumah Allah.

Masjid katanya, perlu dijadikan pusat sebaran dan menuntut ilmu serta tempat berhimpun untuk mengenal Allah serta harus dilindungi.

“Masjid dan surau adalah tempat kita berpaut, berlindung dan memohon rahmat Allah. Maka sudah menjadi kemestian dan sewajarnya dihindarkan daripada anasir-anasir yang boleh memecahkan kesatuan umat Islam,” katanya. - UTUSAN ONLINE