Terletak kira-kira 25 kilometer dari Tangkak dan 18 kilometer dari pekan Bukit Gambir, Muar, lokasinya yang dikelilingi ladang kelapa sawit pasti membuatkan pengunjung berasa seperti berada di kawasan terpencil dan mendamaikan.

Selain menjadi syurga bagi peminat sukan lasak, kawasan tersebut juga menjanjikan pe­ngalaman unik kerana pengunjung diberi peluang melakukan kerja-kerja di ladang tembikai seluas hampir 100 hektar yang berlatarbelakangkan peman­da­ngan indah Gunung Ledang.

Antaranya, pengunjung boleh mencuba menanam, melakukan pendebungaan serta memetik buah tembikai yang tidak akan diperoleh di tempat lain.

Menurut Pengurusnya, Azman Md. Rasip, 53, sebagai lokasi agro pelancongan, pengunjung juga diberi peluang melihat serta mencuba aktiviti rutin pekerja ladang kelapa sawit dan getah se­perti memetik buah kelapa sawit serta menoreh getah.

Bagi mereka yang gemar mela­kukan aktiviti sukan lasak, SPPK Agro Park turut menyediakan trek motocross dan basikal bukit sejauh 36 kilometer serta trek ATV dan kemudahan flying fox.

Pengunjung yang tidak mempunyai motosikal serta basikal tidak perlu gusar kerana mereka masih berpeluang mencuba laluan kedua-dua sukan lasak itu dengan menyewa kemudahan yang disediakan oleh pihak pengurusan dengan harga berpatutan.

“Bagi yang berhasrat untuk bercuti dan bermalam bersama ke­luarga, mereka juga boleh memi­lih untuk menginap di tiga inap desa atau beberapa calet yang terdapat di kawasan seluas 1.5 hektar itu.

“Mereka juga tidak perlu risau dengan kemudahan lain kerana kami turut menyediakan kafeteria yang menghidangkan keperluan kepada mereka. Bagi agensi kerajaan atau pihak swasta yang ingin mengadakan kursus atau seminar, SPPK Agro Park turut menyediakan dewan terbuka serta tapak perkhemahan yang boleh memuatkan kira-kira 100 orang,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, selain boleh menyewa keperluan perkhemahan, mereka turut diberi pilihan untuk menempah pakej katering yang ditawarkan atau memasak sendiri kerana pihaknya turut menyediakan kemudahan untuk berbuat demikian.

Terbaharu, pihaknya turut menyediakan kemudahan untuk pasangan yang ingin me­langsungkan majlis perkahwinan mereka di kawasan tersebut menerusi pakej laman pengantin dengan semua urusan seperti jamuan, pelamin dan keperluan lain diuruskan oleh pihaknya dengan harga berpatutan.

“Kami juga menitikberatkan aspek keselamatan terutama ketika pengunjung melakukan pelbagai aktiviti sukan lasak de­ngan menyediakan petugas yang terlatih dan mahir dalam sukan tersebut,” katanya.