Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, bermula Januari hingga Ogos lalu, SKMM telah memperuntukkan RM2.6 juta bagi menaik taraf perkhidmatan beberapa syarikat pembekal telekomunikasi melibatkan 13 kawasan di kawasan berkenaan.

“Antara kawasan yang terlibat ialah Kampung Asli Kudung, Kampung Asli Tamok, Kampung Tenang, Pekan Air Panas, Air Terjun Sungai Bantang, Kampung Tenang, Felda Tenang, Bukit Mambai dan Kampung Sawah Padi.

“Sebenarnya, terdapat kawasan yang mendapat liputan hanya satu rangkaian talian oleh syarikat pembekal tertentu sahaja kerana menara pemancar dimiliki syarikat tersebut, manakala sesetengah kawasan masih lagi belum mempunyai menara pemancar,” kata­nya semasa meninjau kemudahan menara komunikasi milik Maxis di Kampung Tenang yang turut disertai Penolong Pengarah SKMM Wilayah Selatan, Mohd. Sufian Abdul Sukor dan Ketua Pejabat SKMM Wilayah Selatan, Roszeta Kassim.

Tee Yong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, syarikat telekomunikasi mungkin tidak berminat untuk menyediakan perkhidmatan sekiranya mendapati penduduk di sesuatu kawasan terlalu kecil dan tidak menguntungkan kerana kos membina sebuah menara serta peralatan lain menelan kos lebih RM1 juta.

Bagi menangani masalah tersebut, terutamanya di kawasan luar bandar, SKMM mengambil inisiatif untuk menyediakan peruntukan daripada dana sebanyak enam pera­tus daripada keuntungan syarikat telekomunikasi berkenaan bagi mengisi dana tersebut dan dikembalikan kepada rakyat dengan cara meningkatkan perkhidmatan.

Katanya, SKMM juga telah menetapkan supaya syarikat pembekal lain berkongsi menara, namun proses untuk mendapat kelulusan serta kerja-kerja pemasangan peralatan memerlukan tempoh kira-kira satu tahun.

“Walaupun sudah terdapat menara telekomunikasi, kos peralatan serta lesen untuk menyediakan perkhidmatan rangkaian telemunikasi menelan kos antara RM200,000 hingga RM300,000 dan SKMM selalunya akan menggunakan dana tersebut bagi tujuan itu jika terdapat keperluan mendesak.

“Saya harap selepas ini penduduk di Parlimen Labis akan mendapat liputan telefon bimbit dan internet yang lebih baik kerana pengunaan telefon bimbit merupakan satu keperluan ketika ini,” katanya.