Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim berkata, sejak ia berkuatkuasa 1 Jun tahun lalu, sebanyak 7,000 penjawat awam kontrak dan sementara melibatkan 92 agensi perkhidmatan awam di ne­geri ini te­lah berdaftar sebagai pencarum.

Beliau berkata, perluasan perlindungan keselamatan sosial itu mencerminkan kepekaan kerajaan negeri terhadap kebajikan golongan berkenaan supaya sentiasa terbela.

“Suka saya ingatkan mana-mana jabatan yang mempunyai pekerja berstatus kontrak dan sementara namun masih belum mendaftar dengan Perkeso agar segera berbuat demikian seterusnya membayar caruman yang ditetapkan.

“Tindakan segera kita dapat memastikan pekerja berkenaan mendapat perlindungan sewajarnya kerana malang tidak berbau dan kita tidak boleh menjangka sesuatu di masa depan,” katanya ketika me­rasmikan Majlis Perluasan Liputan Perkeso ke atas penjawat awam Johor dan persekutuan bertaraf kontrak dan sementara, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohamed dan Pengarah Perkeso Ne­geri, Ismail Abi Hashim.

Ismail turut menyerahkan cek pembayaran caruman berjumlah RM2.15 juta bagi pihak kerajaan ne­geri kepada Perkeso sebagai bayaran caruman daripada semua agensi awam negeri dan persekutuan di Johor.

Dalam majlis yang sama, sebanyak 10 pencarum Perkeso menerima bayaran tuntutan faedah melibatkan faedah Hilang Upaya Sementara dan Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan serta Faedah Pengurusan Jenazah.