Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, penambahbaikan dengan elemen kreatif berunsur seni budaya tempatan antara yang boleh diterapkan.

Menurutnya, PBT terlibat boleh menjemput generasi muda yang kreatif untuk menghasilkan karya se­perti mural dan lukisan tiga dimensi bagi mengubah landskap persekitarannya.

“Saya percaya usaha ini akan menjadikan seni visual sebagai seni yang dihargai, selain turut mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong.

“Selain itu, PBT juga perlu memikirkan kaedah sesuai untuk memperkemaskan semula penggunaan tulisan jawi di kawasan tertentu bagi mengekalkan wa­risan bangsa, selain turut mempromosikannya,” katanya sema­sa penutupan Kategori Seni Visual dan Seni Khat Program Les­tari Seni Budaya 2017 yang diadakan di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ), Mohd. Shahrin Rahmat.

Zulkurnain berkata, program tersebut merupakan satu inisiatif kerajaan negeri dalam memartabatkan kesenian dan kebudayaan supaya tidak pupus ditelan zaman.

“Golongan muda tidak seha­rusnya hanya memberi fokus terhadap bidang akademik, malah turut memastikan seni dan budaya bergerak seiring.

“Keseimbangan ini pen­ting bagi mengekalkan identiti masyarakat tempatan pada masa depan supaya generasi muda kini memahami warisan, sejarah dan buda­yanya sendiri,” katanya.

Antara aktiviti yang diadakan sempena program tersebut termasuk kursus seni khat, latihan seni visual dan seni khat, demonstrasi, pertandingan melukis mural serta pertandingan mewarna.