Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liew Cai Tung berkata, setakat ini hanya 10 peratus taska yang berope­rasi di negeri ini mendaftar de­ngan JKM.

Beliau berkata, langkah tersebut selari dengan hasrat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi memudahkan pemantauan dilakukan terhadap premis berke­naan supaya memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Pendaftaran taska adalah sangat penting bagi memudahkan kerajaan negeri menerusi agensi terlibat memantau operasi mereka khususnya dalam aspek keselamatan di premis berkenaan serta kakitangannya.

“Langkah pemutihan ini akan mengambil masa yang panjang. Untuk fasa pertama ini, agensi terlibat dengan kerjasama persatuan taska akan cuba me­ngenal pasti taska yang tidak berdaftar dan seterusnya melihat permasalahan yang diha­dapi mereka, sekali gus membantu premis terbabit,” katanya selepas mempengerusikan perbincangan Meja Bulat Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Wanita Negeri Johor, di sini hari ini.

Cai Tung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya berkata, kerajaan negeri memandang serius tentang perkara itu dan berharap NGO serta masyarakat dapat menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat berkaitan taska yang tidak berdaftar.

Mengenai cadangan menggalakkan warga emas bekerja, beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan dalam me­syuarat jawatankuasa warga emas dan akan diperhalusi untuk direa­lisasikan dalam masa terdekat.

“Kita mengambil contoh negara maju yang lain, mereka menggalakkan warga emas untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dengan melakukan kerja yang ringan mengikut kemampuan mereka seperti menjadi juruwang.

“Kita akan fikirkan apakah yang terbaik untuk memberi galakan kepada warga emas ini supaya mereka tidak hanya bergantung terhadap bantuan JKM semata-mata. Sekiranya perkara ini disambut baik, kita akan minta sektor awam terlibat sama dalam hal ini,” kata­nya.