Lantaran itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Pelancongan Wanita negeri, Liow Cai Tung mahu semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tentang pendidikan seimbang dipraktikkan.

“Terdapat enam ciri dalam pendidikan seimbang iaitu kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etik dan kerohanian serta identiti nasional yang kuat.

“Selain itu ciri-ciri ini bukan sahaja menekankan kepentingan pengetahuan tetapi juga pembangunan kemahiran pemikiran kritis, kreatif dan inovatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Johor Jaya 2, di sini baru-baru ini.

Sempena karnival tersebut diadakan pelbagai aktiviti antaranya gerai jualan, rumah hantu, permainan, mini zoo, sauk ikan, pertandingan kebudayaan dan pertandingan Jejak Maklumat.

Katanya, ciri-ciri tersebut diberikan penekanan bagi membolehkan semua pelajar memberikan sumbangan bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Rentetan itu ujarnya, kerajaan tidak mahu rakyatnya masih lagi memiliki minda kelas ketiga ketika kerajaan sudah pun membangunkan infrastruktur kelas pertama.

Justeru katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, keterampilan murid-murid dalam pelbagai disiplin ilmu adalah sangat diharapkan kerajaan.

“Sesungguhnya tenaga kerja yang mahir dan kompeten merupakan aset terpenting bagi melestarikan dan menjayakan misi nasional ini.

“Jadi pengasuhan, bimbingan dan dorongan daripada semua aspek kehidupan sejak di peringkat awal lagi adalah amat pen­ting. Pencapaian akademik sahaja tidak memadai,” katanya.

Jelas beliau, pembangunan dan perkembangan yang tinggi dalam aspek keperibadian juga amat penting diberikan perhatian pada masa kini.