Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ), Abdul Razak Mohd. Saad berkata, pihaknya masih berbincang dengan sebuah universiti terkemuka di Australia untuk menawarkan kursus ijazah sarjana muda dalam bidang pertadbiran perniagaan dan perakaunan.

“Kita berharap perbincangan ini berjalan lancar supaya dapat menjalankan program berkembar ini secepat mungkin.

“Selain itu, kita juga sedang berbincang dengan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Putra Malaysia (UUM) untuk mengadakan program berkembar dengan mereka dalam bidang tertentu," katanya selepas Majlis Penyerahan Kampus Induk KYPJ, di sini hari ini.

Kampus induk yang dibina de­ngan kos RM120 juta itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YPJ Holdings Sdn. Bhd., Elias Hasran kepada Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Onn Jabbar.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ Builders, Abdul Razak Mohd. Yusof dan Pengarah Teknikal Gerbang Nusajaya Sdn. Bhd., Mazlan Bujang.

Abdul Razak berkata, apabila program berkembar tersebut dapat direalisasikan, KYPJ bukan sahaja menawarkan peluang pengajian lebih luas, malah mampu menarik penuntut luar negara.

“Universiti di Australia dipilih untuk program berkembar ini kerana berdasarkan tukaran wang asing yang lebih rendah. Kalau kita pilih universiti di United Kingdom, tukaran wang asing terlalu tinggi,” katanya sambil yakin rancangan tersebut mampu direalisasikan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Onn berkata, KYPJ bukan lagi untuk menyediakan 'peluang kedua' kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi kini merupakan pilihan alternatif terbaik kepada mereka.

“Kini program-program diploma dan sijil yang ditawarkan KYPJ le­bih menekan tentang soft skills bagi melahirkan lepasan yang berkete­rampilan dan mempunyai kepim­pinan yang baik,” katanya.