Bermain dalam fikiran, lokasi mana yang sesuai? Namun, serentak dengan musim buah-buahan pada masa ini, cuba ‘beralih’ de­ngan mencuba suasana berbeza, iaitu bersantai di kebun buah-buahan.

Pasti pengalaman mengutip sendiri dan makan durian yang baharu gugur di kebun sambil menikmati keindahan suasana desa dan alam semula jadi memberi kenangan istimewa, khususnya bagi yang mempunyai anak-anak kecil serta tidak pernah merasai situasi berkenaan.

Tetapi di mana lokasi atau kebun yang boleh memberi pe­ngalaman sedemikian? Jawapannya, salah sebuah kebun yang sentiasa ‘membuka’ pintu kepada orang ramai ialah di Dusun Durian Landak di Kampung Air Putih, Kampung Sawah, Pekan Nanas, dekat sini.

Dusun berkonsepkan agro pe­­lancongan seluas tiga hektar itu yang diusahakan oleh Abdul Hadi Ahmad Sani, 41, kini menjadi tumpuan penggemar ‘raja buah’ dari dalam dan luar negara, khususnya dari Singapura.

Menurut anak jati Pekan Nanas ini, dusun berkenaan yang mula menjadi tarikan pelancong sejak dua tahun lalu mempu­nyai kira-kira 100 pokok durian, malah ada antaranya berusia le­bih 100 tahun.

“Di sini terdapat kira-kira 20 jenis durian, antaranya udang merah, kacapuri, pulut, kuku helang dan jantung dengan se­tiap jenis mempunyai ciri-ciri dan rasa tersendiri.

“Menariknya, pengunjung dan orang ramai boleh merasai sendiri pengalaman untuk me­ngutip buah durian yang baharu gugur dan menikmatinya secara segar,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Selain durian, dusun itu turut ditanam dengan pokok rambutan, manggis, ciku, langsat, pulasan, dukung, duku, rambai, jambu bol, kelapa matag dan pisang.

Dusun itu dibantu tiga pekerja tetap dan beberapa pekerja sambilan.

Lebih mendamaikan, sambil menikmati durian dan pelbagai buah-buahan tempatan di pangkin-pangkin yang disediakan, para pengunjung boleh menikmati keindahan pemandangan kaki Gunung Pulai yang terletak berhampiran.

Abdul Hadi memberi jaminan harga buah-buahan yang ditawarkan pihaknya adalah berpatutan dan akan digantikan serta-merta sekiranya busuk atau rosak.

Beliau juga bertuah ker­a­­­na usahanya mendapat soko­ngan keluarga, terutamanya isteri, Norhasanah Hassan, 34, yang merupakan seorang guru.

Ditanya tentang perancangan masa depan, beliau bercadang untuk membina beberapa buah chalet bagi membolehkan pe­ngunjung menginap di dusun itu dan mengutip buah durian pada waktu malam.

Antara orang kenamaan yang pernah berkunjung ke dusun itu ialah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat.

Malah, beberapa selebriti po­pular tanah air seperti Aishah dan Awi Rafael turut pernah menje­ngah ke dusun berkenaan untuk menikmati buah-buahan tempatan sambil menikmati suasana kebun yang mendamaikan.

Jadi, andai ada kelapangan hujung minggu ini, luangkan masa bersama-sama keluarga atau rakan-rakan sambil menikmati buah-buahan tempatan di Dusun Durian Landak.