Biarpun R&D bukan sesuatu yang baharu, namun banyak pihak berterusan mahu mewujudkan bidang R&D dalam usaha memperkukuhkan syarikat mereka, anak syarikat Johor Corporation (JCorp), Kulim (Malaysia) Bhd. (Kulim) juga tidak ketinggalan.

Kulim merupakan nadi dan sayap utama JCorp dalam sektor perladangan kelapa sawit.

Bagi memastikan mampu mempertingkatkan terutama pengeluaran buah tandan segar selain penghasilan minyak sawit, Kulim membangunkan pusat R&D, Kulim Agrotech Centre di sini dengan kos sebanyak RM20 juta.

Pembukaan pusat tersebut juga diyakini akan dapat mempertingkatkan bidang penyelidikan Kulim.

Kompleks dengan reka bentuk diinspirasikan daripada pohon kelapa sawit, simbolik kepada bisnes utama Kulim iaitu perladangan kelapa sawit, turut menjalankan kajian R&D bagi hasil pertanian lain iaitu kelapa.

Kulim Agrotech Centre yang sudah memulakan operasi sepenuhnya tahun lalu, menempatkan lima bahagian utama iaitu biak baka tanaman, kultur tisu, makmal kimia, genomik dan mikrobiologi serta pentadbiran agronomi dan khidmat nasihat.

Pusat tersebut dibangunkan anak syarikat JCorp itu di atas tanah seluas 2.87 hektar di sini diyakini dapat mempertingkatkan lagi pelbagai bidang kajian syarikat berkenaan sejajar usaha bagi penambahbaikan hasil keluaran mereka.

Pembinaan kompleks berke­naan juga selaras dengan seruan kerajaan yang menggalakkan inisiatif serta kajian bagi memastikan industri sawit yang lebih berdaya saing sekali gus diterjemahkan kepada komitmen negara terhadap pembangunan mapan.

Pada masa sama, hasil kajian dan penyelidikan yang dijalankan di kompleks itu diharap dapat membantu Kulim menghasilkan pengeluaran buah tandan segar yang lebih banyak dengan kandungan minyak lebih tinggi.

Menerusi pusat itu, purata pengeluaran minyak sawit mentah di negara ini dijangka me­ningkat iaitu berpotensi menghasilkan minyak sawit mentah melebihi tujuh tan sehektar berbanding empat tan buat masa ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, pembukaan kompleks itu menunjukkan komitmen Kulim dalam memastikan pembangunan industri sawit lebih berdaya saing dan mapan.

Selain itu, katanya, perkembangan tersebut juga seiring dengan aspirasi kerajaan negeri untuk membudayakan sains dan teknologi serta mencipta nilai baharu dalam bidang R&D sekali gus mampu menghasilkan pelbagai perkara baharu.

“Dengan adanya kompleks itu secara tidak langsung akan membantu Kulim mengembangkan lagi bidang penyelidikannya.

“Saya percaya, impak daripada R&D yang dijalankan di pusat berkenaan akan dapat menghasilkan buah tandan kelapa sawit yang segar selain kandungan minyak yang tinggi sekali,” katanya yang juga Pengerusi Kulim di sini baru-baru ini.

Tambahnya, kompleks itu bukan sahaja dapat membantu Kulim meningkatkan produktiviti seperti menghasilkan buah tandan kelapa sawit yang segar dan kandungan minyak yang tinggi tetapi pada masa sama, hasil kajian dilakukan dipercayai dapat memberi manfaat kepada industri perladangan terutama dalam aspek peningkatan kualiti dan inovasi produk agro.