Menggunakan nama Kuah Rojak Warisan Bonda, Mohd. Shothri Ahmad berkorban untuk isteri, Siti Nur Aqilla Omar apabila melihat kesungguhan pasangannya itu mahu menambah pendapatan selepas diberhentikan sebagai pekerja sambilan di sebuah syarikat.

Bukan isterinya tidak tahu memasak tetapi beberapa kali percubaannya menghasilkan kuah rojak buah yang diajar Mohd. Shothri iaitu resipi ibunya, Salmah Salleh, 54, yang berasal dari Baling, Kedah, sering tidak menjadi.

Justeru, melihat kesungguhan isteri yang mahu berniaga kuah rojak resipi ibu mertuanya, Mohd. Shothri yang merupakan seorang penjawat awam sanggup menyediakan kuah itu yang mengambil masa lebih sejam untuk dimasak.

Idea untuk berniaga kuah rojak itu yang boleh dimakan dengan pelbagai buah-buahan dan sayuran itu timbul selepas Siti Nur Aqilla yang sebelum ini merupakan pekerja sambilan di sebuah syarikat di sini diberhentikan kerja sekali gus menyebabkan pendapatan keluarga berkurangan.

Bermula dari situ, kedua-dua pasangan muda itu yang berusia 30 tahun dan mempunyai dua anak masing-masing berusia tiga tahun dan dua bulan, mencuba berniaga kuah rojak yang dimasak Mohd. Shothri kepada rakan-rakan.

Hasil air tangan Mohd. Shothri itu ternyata cukup sedap sehingga ramai yang mula membuat tempahan dan sejak dua bulan lalu, mereka memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan modal permulaan RM200.

Menurut Mohd. Shothri, isterinya memang suka dengan kuah rojak dibuat ibunya yang turut mengambil tempahan secara kecil-kecilan di kampungnya di Baling untuk majlis tertentu.

“Kami ini orang baharu hendak mula berniaga, walaupun resipi ini sudah lama, malah ibu pun ada ambil tempahan di kampung.

“Jadi, untuk mula berniaga kuah rojak itu, kami meminta restu ibu dan Alhamdulillah mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ditanya mengenai penyediaan kuah rojak itu, Mohd. Shothri berkata, tiada bahan rahsia yang digunakan tetapi ‘tukang masak’ perlu tahu cara betul menggodak selain memastikan api dapur tidak terlalu kuat atau perlahan.

Katanya, ada kuah rojak yang dijual di pasaran cair, itu terpulang kepada selera pelanggan, namun Kuah Rojak Warisan Bonda yang dihasilkannya perlu pekat, likat dan cukup rasa sekali gus memastikannya sama seperti diajar ibunya.

“Buat masa ini, saya memasak kuah tersebut, bukan isteri tidak tahu membuatnya, cuma hasilnya tidak seperti resipi ibu. Jadi, saya akan pastikan kuah yang dibuat isteri itu betul-betul menjadi, barulah saya benarkan dia menghasilkan sendiri kuah rojak tersebut,” katanya.

Dia berkata, kuah itu baharu mula dijual dalam talian selain menggunakan media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp dengan harga RM5 bagi satu bekas kuah rojak seberat 300 gram.

Kedua-dua pasangan itu turut merancang memperluaskan perniagaan mereka pada masa akan datang dengan menyediakan kuah rojak itu sebagai cenderamata majlis tertentu seperti majlis perkahwinan, tahlil atau berkhatan.