Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Md. Farid Md. Rafik berkata, KRT merupakan organisasi yang penting bagi terus memainkan peranan sebagai ejen perpaduan dan kesejahteraan sosial.

Beliau berkata, peranan itu bukan sahaja di negeri ini, malah di seluruh negara yang melibatkan kira-kira 8,000 KRT supaya suasana sambutan berkenaan dapat dihayati oleh segenap lapisan masyarakat.

“Sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-61 tahun pada tahun ini, KRT diharap dapat menggerakkan komuniti di kawasan mereka dan turut sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta terhadap negara ini,” katanya semasa me­lancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang ‘1 Rumah 1Jalur Gemilang’ dan Semarak Sayangi Malaysiaku Peringkat KRT Negeri Johor di Pusat Perdagangan Pontian di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Dr. S. Ramakrishnan; Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Shukri Mohd. Masbah dan Pe­ngarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional negeri, Safidah Abu Samah.

Md. Farid yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai berkata, sambutan berkenaan yang diadakan setiap tahun dapat me­ningkatkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik mereka.

Beliau berkata, kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) sentiasa memberikan perhatian dalam aspek perpaduan, keamanan dan keselamatan rakyat supaya tidak menjadi ancaman terhadap negara ini.

Dalam pada itu, Md. Farid berjanji akan mengenal pasti masalah serta halangan yang menyebabkan sesetengah KRT tidak aktif dan gagal memainkan peranannya.

“Mungkin ada masalah dari pada segi pentadbiran mahupun kekangan kewangan yang menyebabkan mereka gagal menjalankan pelbagai aktiviti seperti yang dilakukan sebelum ini,” katanya.