Malah, taman tema tersebut tidak perlu diperkenalkan lagi kerana sudah popular di seluruh dunia, khususnya di rantau Asia.

Selain pelbagai permainan yang disediakan, turut mendapat perhatian dan pujian daripada pengunjung adalah model bangunan yang ada di taman tema berkenaan.

Mungkin ramai tidak menyedari, siapa golongan yang kreatif mampu menghasilkan model-model tersebut?

Sebenarnya, ada sekumpulan pekerja yang bertungkus-lumus ‘memerah’ otak untuk menghasilkannya yang bernaung di bawah Merlin Magic Making Studios (MMM Studios).

MMM Studios yang terletak di I-Park Indahpura dekat sini bukan sahaja menghasilkan model lego bagi Legoland Malaysia, malah turut dihantar ke luar negara selepas pihaknya dipilih menjadi hab Asia.

Pengurus Pengeluaran Model Lego MMM Studios, Rodzleina Abdul Rahim berkata, pihaknya akan membekalkan model permainan lego ke taman tema Legoland lain di seluruh dunia.

Menurutnya, pada masa ini, MMM Studios telah menghasilkan model lego bagi beberapa negara antaranya Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“MMM Studios dahulunya terletak di Gelang Patah dengan tenaga kerja pembuat model lego hanya enam orang, namun kini kita sudah mempunyai 63 kakitangan dalam pelbagai unit.

“Kepakaran yang dimiliki bukan hanya membuat lego, malah dari peringkat awal hingga akhir, bermula dengan melakukan kajian hingga produk akhir terhasil,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Produksi MMM Studios, Tim Burnell; Pengarah Pembangunan MMM Studios, Rob Griffin dan Pengurus Besar Legoland Malaysia, Kurt Stocks.

MMM Studios juga sedang merancang untuk menambah jumlah tenaga kerja sebagai pembina model lego atau lego builder menjelang hujung tahun ini bagi menampung peningkatan pengeluaran pada masa akan datang.