Menerusi kerjasama berke­naan, KPYPJ akan menawarkan program kemahiran peringkat sijil, sijil kompetensi, diploma serta ijazah kepada golongan belia Felda bagi jangka masa pendek, separuh masa atau sepenuh masa.

KPYPJ juga akan menyediakan segala kemudahan pembelajaran dan penginapan, makan, minum dan logistik kepada belia Felda terlibat sepanjang tempoh kursus berkenan.

Dalam masa yang sama, KPYPJ turut membantu lulusan program berkenaan untuk mendapatkan pekerjaan di syarikat dan organi­sasi yang sesuai dengan kemahiran mereka.

KPYPJ dalam satu kenya­taan memaklumkan, MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Abdul Rashid A. Rahman dan Pengurus Besar KPYPJ, Abdul Razak Mohd. Saad manakala MBFM diwakili Presidennya, Muhammad Fadzli Hasan dan Pengarah Jabatan Inovasi & Generasi Baru Felda, Nik Hasrul Mohd Zainudin.

Majlis yang diadakan semalam itu disaksikan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti Felda, Anuar Malik.

Bagi memeriahkan program berkenaan, turut diadakan pame­ran tentang kursus-kursus kemahiran yang ditawarkan Kolej Kemahiran Johor (KKJ) seperti pembuatan pakaian wanita (reka fesyen), penyediaan makanan (kulinari), demonstrasi ukiran buah dan mendekorasi kek.

KKJ yang dahulunya dikenali Kolej Komuniti YPJ kini menawarkan lebih 10 program kemahiran peringkat sijil dan diploma dalam pelbagai bidang seperti automotif, pembuatan pastri, penyediaan makanan, pengurusan pejabat, pemasangan dan penyelenggaraan elek­trik, pembuatan pakaian wanita dan penyelenggaraan motosikal.

Abdul Rashid menyifatkan kerjasama itu sebagai salah satu inisiatif bersepadu untuk memberikan latihan dan kemahiran dalam pelbagai bidang kepada golongan belia Felda.

“Diharapkan menerusi kerjasama ini akan dapat melahirkan sumber tenaga mahir dalam kalangan rakyat bagi merealisasikan pembentukan sebuah negara berpendapatan tinggi yang me­nyumbang terhadap pembangunan sosio ekonomi masyarakat dan negara amnya,” katanya.