Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Ahsmon Bajah berkata, kajian oleh Pemandu mendapati 69 peratus responden yakin dan merasa selamat daripada kejadian jenayah meskipun pada tahun 2017 daerah ini mengalami pembangunan pesat.

“Sepanjang tahun 2017 juga kita telah berjaya menyelesaikan 53 peratus kes jenayah yang berlaku berbanding 2016. Secara keseluruhan, keadaan ketenteraman awam di daerah ini adalah tenang dan terkawal.

“Tiada sebarang kejadian serius yang boleh menggugat keamanan termasuk kejadian berunsurkan perkauman,” katanya selepas melancarkan program Amalan Membudayakan Integriti dan Sahsiah Diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di sini baru-baru ini.

Menurut Ahsmon, program ini adalah bagi memastikan semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di daerah berkenaan sentiasa menjunjung amalan integriti semasa melaksanakan tugasan harian mereka.

“Pelancaran program ini juga sebagai menyahut arahan pucuk kepemimpinan sejajar fokus Ketua Polis Negara untuk memantapkan integriti.

“Dalam program ini, usaha itu dilaksanakan melibatkan beberapa fasa dan disusuli de­ngan kajian keberkesanannya,” katanya.