MOHD. ZAM MUSTAMAN

Ketua Projek Pejabat Pengurusan Program IRDA, Mohd. Zam Mustaman berkata, IRDA sedang dalam proses memuktamadkan butiran mengenai kerja-kerja landskap tersebut malah kos kerja bagi tujuan itu juga belum diputuskan.

Menurutnya, kos bagi khidmat perundingan itu adalah mengikut kadar yang ditetapkan, iaitu antara lima hingga enam peratus daripada nilai keseluruhan projek, kaedah yang diguna pakai selama ini.

“Kita sedang dalam peringkat akhir memuktamadkan butiran projek tersebut,” katanya selepas Taklimat Perkembangan Projek Sungai Segget di Pejabat IRDA, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Perancangan dan Pematuhan IRDA, Maimunah Jaffar.

Mohd. Zam berkata demikian ketika diminta mengulas ke­nyataan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mempersoalkan IRDA berhubung pelaksanaan projek landskap Sungai Segget yang menelan kos sebanyak RM57 juta.

Menurut Nur Jazlan yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, adalah tidak munasabah kos yang perlu dibayar agensi kerajaan itu untuk khidmat perundingan yang dianggarkan mencecah RM20 juta.

Mengulas lanjut Mohd. Zam berkata, projek Sungai Segget itu dilaksanakan mengikut peraturan ditetapkan dan turut mendapat kerjasama pelbagai pihak terma­suk Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan pihak berkepenti­ngan.

Ujarnya, pihak IRDA komited untuk memastikan projek tersebut berjalan lancar termasuk memenuhi objektif asal perancangannya, iaitu membersihkan Sungai Segget dan pembinaan sistem tebatan banjir.

Sementara itu, Maimunah berkata, projek tersebut kini memasuki fasa ketiga, iaitu memperindahkan kawasan sekitarnya menerusi kerja-kerja landskap dan tender akan dibuka dalam tempoh terdekat.

“Reka bentuk landskap Projek Sungai Segget yang dicadangkan adalah berasaskan komuniti kerana IRDA sudah menjalankan sebanyak tujuh pertemuan dengan komuniti sejak tahun 2016 hingga kini,” katanya sambil memberitahu projek tersebut dijadual bermula tahun depan.