Di antara deretan kedai tersebut ialah Togez Café yang mengusahakan perniagaan menjual minuman kopi atau dikenali masyarakat tempatan sebagai kopi tenggek.

Ternyata keunikan namanya menarik ramai peminat minuman kopi untuk merasainya termasuk yang datang dari bandar ini setelah ditularkan dalam media sosial.

Menurut Pemilik Togez Café, Ismail Abu Nawi, 46, selain dikenali sebagai kopi tenggek, orang ramai memanggilnya kopi gantung kerana di atas cawan kopi terletak penapis kopi.

Katanya, kaedah meletakkan penapis di atas cawan telah lama dilakukan kedai-kedai kopitiam bagi membolehkan mereka yang meminumnya merasai rasa kopi sebenar tanpa keladaknya.

“Keunikannya juga membantu meningkatkan kedatangan pengunjung ke gerai MPKK yang turut menjual pelbagai makanan antaranya laksa penang, kacang pol, nasi goreng dan mi rebus.

“Sambutan orang ramai menjadikan kawasan ini satu lagi pusat makanan di bandar Benut pada waktu malam sama ada secara berkeluarga atau rakan-rakan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Ismail berkata, perniagaannya dibuka mulai 4 petang hingga 2 pagi dan pihaknya mampu menjual antara 50 hingga 100 cawan bergantung pada hari terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

“Bagi menarik kedatangan pengunjung, Togez Café juga diceriakan dengan dekorasi da­laman yang diperbuat daripada kayu pallet termasuk kerusi, meja dan sebagainya,” ujarnya.

Jelas Ismail, kerjasama semua pihak termasuk peniaga yang menjual pelbagai masakan Me­layu membantu memajukan lagi perniagaan di kawasan itu yang sebelum ini agak suram pada waktu malam.

Bagi penggemar kopi katanya, Togez Café bersedia menambah peralatan penapisnya supaya me­reka yang datang dari jauh tidak akan hampa begitu juga bekalan kopi yang dihantar pembekal.