Walaupun agak baru, namun percubaan oleh sebuah syarikat bumiputera, Coffee Ngences kian menampakkan hasil apabila pelbagai jenis minuman yang dihasilkan dengan campuran buah nanas semakin mendapat sambutan daripada orang ramai.

Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Mohd. Anim Hosnan berkata, usaha tersebut merupakan salah satu lagi langkah memperluaskan pasaran dan kegunaan nanas.

“Usaha ini juga merupakan nilai tambah bagi buah nanas. Ini berita baik kepada pekebun dan pengusaha produk nanas,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Beliau ditemui pada sesi mencuba rasa pelbagai minuman yang dicampur nanas oleh syarikat Coffee Ngences di Ibu Pejabat LPNM, Bandar Baru Uda, di sini.

Mohd. Anim turut meraikan rombongan dari Sarawak yang diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismawi Ismuni dengan mencuba minuman berkenaan selepas me­ngadakan mesyuarat berkaitan penanaman nanas di negeri berkenaan.

Sementara itu, pemilik Coffee Ngences, Mohd. Redzuan Shah Ahmad berkata, minuman seperti kopi nanas yang diperkenalkan pihaknya kira-kira sebulan lalu semakin mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Kami memperkenal enam minuman yang dicampur na­nas, iaitu kopi nanas, mocha nanas, coklat nanas, yogurt nanas, vanila nanas dan kopi nanas 3 dalam 1.

“Minuman berkenaan dijual dengan harga antara RM6 hingga RM8 satu cawan,” katanya.

Beliau yang merupakan anak jati Muar nekad untuk memperkenalkan minuman berasaskan buah nanas kerana tanaman tersebut merupakan salah satu identiti negeri ini.

“Kami juga berusaha untuk membantu mempelbagaikan produk nanas,” katanya.