SAZALI ABD. HAMID

Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Johor, Sazali Abd. Hamid berkata, hal demikian ini kerana kebanyakan koperasi yang ada di negeri ini masih baharu dan tidak mempunyai pusingan wang mencukupi untuk menaikkan gaji pekerja.

“Di Johor ada kira-kira 1,400 koperasi yang berdaftar dengan Angkasa dan jumlah ini hanya lima peratus yang dilihat mempunyai kekuatan untuk melaksanakan gaji minimum itu. Mungkin tiada masalah untuk koperasi yang sudah lama bertapak kerana mereka mempunyai perniagaan.

“Berbeza dengan koperasi baharu, mereka tidak mempunyai modal pusingan kerana setiap operasi mereka dijalankan secara sendiri. Boleh dikatakan rata-rata mereka menggajikan staf masing-masing dalam lingkungan RM700 hingga RM800 sebulan sahaja.

“Mereka (kakitangan) ini pun diambil daripada golongan yang baharu habis sekolah atau me­nunggu kerja lain. Jadi kita lihat jika gaji minimum dilaksanakan secara mendadak seperti ini, boleh memusnahkan operasi masing-ma­sing,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Rabu lalu kerajaan bersetuju melaksanakan kadar gaji minimum yang seragam di seluruh negara iaitu RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam, berkuat kuasa 1 Ja­nuari 2019.

Sazali berkata, daripada rekod sedia ada, 70 peratus daripada jumlah koperasi baharu di Johor mendapat perolehan wang kurang daripada RM200,000 setahun.

“Jumlah ini kalau diikutkan bukanlah sesuatu yang besar. Jika sudah tolak semua kos operasi dan sebagainya, adalah baki dalam RM10,000 hingga RM15,000 sahaja. Bagaimana mereka nak selaraskan gaji minimum yang ditetapkan kepada staf?

“Kita sedia maklum pembia­yaan adalah masalah paling sukar dialami pihak koperasi, jadi mereka perlu jalankan kerja dan mendapat pendapatan sendiri. Perkara ini seharusnya diteliti kerana bukan melibatkan sektor swasta dan majikan semata-mata,” katanya.

Sehubungan itu, jelas Sazali, pihaknya berharap kerajaan dapat menyediakan platform atau medium yang sesuai untuk me­ngatasi masalah berkenaan sebelum pelaksanaan gaji minimum dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Pemberian geran adalah sesuatu yang kerajaan berikan kepada koperasi sebelum ini cuma dari segi pembiayaan, kita memang susah untuk mendapatkannya kerana bank tidak mudah memberikannya.

“Kalau mahu dapatkan pembiayaan menerusi Tabung Modal Pusingan (TMP) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pula agak sukar sekarang kerana angka koperasi sedia ada sudah menjangkau sehingga 13,000 di seluruh negara. Persaingan itu besar. Jadi kita harap kerajaan sedia lebih inisiatif untuk selamatkan industri ini,” katanya.