Konvoi tersebut diketuai oleh Ketua Polis daerah, Superintenden Zakaria Abdul Rahman serta Timbalanya, Deputi Superintenden Razali Yahya

Menurut Zakaria, konvoi yang bermula pukul 7.30 pagi itu menjelajahi ke seluruh daerah dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian ke Kukup, Pekan Nanas, Parit Makasar, Benut, Ayer Baloi dan berakhir di Pusat Perdaga­ngan Pontian.

“Konvoi ini berakhir pada pukul 6.30 petang di Pusat Perdagangan Pontian dengan pelbagai aktiviti mendekati masyarakat sepanjang program berkenaan.

“Penggunaan motosikal kapcai bagi memudahkan pergerakan di kawasan kampung,” katanya sambil memberitahu para peserta turut membaiki rumah seorang warga emas, Alos Tarmidi, 73, semasa singgah di Kampung Parit Abdul Rahman.

Zakaria berkata, konvoi tersebut turut mendapat kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Ma­­­lay­sia (MCPF) Cawangan Pontian, Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung Daerah Pontian.

Pihaknya turut menyampaikan barangan keperluan asas seperti beras, tepung dan minyak masak sebagai tanda prihatin terhadap golongan masyarakat yang memerlukan.

“Program sebegini juga memberi ruang dan peluang kepada pegawai dan anggota termasuk anggota awam bekerja dalam sebuah pasukan, membina keyakinan diri serta membentuk daya kepimpinan yang tinggi,” katanya sambil memberitahu program itu akan dijadikan acara ­tahunan.