Kunjungan ke Banten merupakan destinasi terakhir misi kemanusiaan MyCare dan Econsave bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu di Sulawesi Tengah.


Pengerusi MyCare Johor, Prof Madya Dr. Mohd. Zin Kandar berkata, sumbangan kepada mangsa tsunami itu merupakan hasil kutipan derma daripada rakyat Malaysia yang prihatin.


“Di Kampung Cikujang, kita dimaklumkan lebih 30 kematian dan banyak kemusnahan harta benda dan rumah. Jadi, kita datang membawa (sumbangan) bantuan rakyat Malaysia dalam bentuk kit kebersihan diri kerana itulah yang diperlukan di kawasan ini,” katanya.


Mohd. Zin yang merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, selain itu turut disampaikan telekung serta pek makanan ringan untuk kanak-kanak dengan harapan sumbangan kecil itu akan dapat menceriakan mereka.


Pihaknya juga masih mendapatkan maklumat mengenai kampung yang dikunjungi untuk meneruskan bantuan dan rakyat Malaysia diminta untuk terus menyalurkan sumbangan bagi membantu mangsa tsunami itu.


“Kami mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Econsave, rakyat Malaysia dan sebuah pertubuhan muslimah di Johor Bahru yang menyumbang telekung.


“Ini merupakan satu kerjasama dan keakraban antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.


Sementara itu, Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, usaha tersebut pada awalnya adalah mengumpulkan dana bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Lombok dan Palu.


“Tapi selepas itu kita dapat tahu berlakunya tsunami di Banten. Kita terus mengambil sedikit sumbangan diterima untuk disalurkan kepada mangsa di Banten. 


“Kalau di Palu sebelum ini, untuk misi pertama kita telah hantar barangan makanan. Jadi, misi kedua kita bagi perahu dan sumbangan barangan makanan. Di Banten, kita berikan kit kebersihan dan wang tunai selain pek makanan untuk kanak-kanak,” katanya.


Beliau berkata, di Banten sahaja, sebanyak RM25,000 disalurkan daripada keseluruhan peruntukan bagi misi kemanusiaan tersebut yang berjumlah RM120,000. - UTUSAN ONLINE