Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Komited mengorak langkah teroka bidang pelancongan

SEBAHAGIAN ahli Komited bergambar kenangan bersama Chua Tee Yong
SEBAHAGIAN ahli Komited bergambar kenangan bersama Chua Tee Yong (depan, tengah) selepas majlis pelancaran logo dan plak perasmian Rumah Komited di Dewan Semai Bakti Felda Tenang, Labis, Johor, kelmarin.

LABIS 4 Sept. – Selepas berjaya membantu memasarkan produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Koperasi Smilian Felten Johor Berhad (Komited) yang baru setahun penubuhannya terus mengorak langkah meneroka da­lam bidang pelancongan.

Pengerusinya, Hamdan Ibrahim, 50, berkata, pelbagai produk eko-pelancongan yang terdapat di sekitar Labis berpotensi untuk dibangunkan seperti perusahaan kraf tangan, kolam air panas, dusun buah-buahan, air terjun dan alam semula jadi yang diyakini mampu menarik lebih ramai pe­ngunjung.

“Kami tidak mahu ketinggalan merebut peluang yang ada berikutan usaha yang dijalankan kerajaan untuk memperkenal dan menjadikan Labis sebagai salah satu destinasi eko-pelancongan dengan cara menyediakan inap desa kepada pelancong.

“Untuk tujuan ter­se­but, seramai 10 ahli telah pun bersetuju dan membuat persiapan untuk menjadikan kediaman mereka sebagai inap desa dan permohonan telah pun dipanjangkan kepada pihak berwajib bagi mendapat kelulusan,” katanya selepas majlis pelancaran logo dan plak perasmian Rumah Komited yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong di Dewan Semai Bakti Felda Tenang, di sini semalam.

Katanya, Komited ketika ini mempunyai seramai 150 ahli de­ngan majoritinya adalah generasi kedua Felda Tenang yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Ibrahim Labis dari tahun 1980 hingga 1984 dan masih membuka peluang kepada mereka yang belum mendaftar untuk menyertai koperasi tersebut.

Hamdan berkata, usaha me­nubuhkan koperasi tersebut turut mendapat kerjasama daripada pihak pengurusan Felda Tenang yang membenarkan pihaknya menggunakan sebuah rumah guru sebagai pusat aktiviti.

"Selain aktif merebut peluang dalam bidang perniagaan, kami turut menghantar ahli menyertai pelbagai kursus serta seminar bagi memantapkan diri dan ilmu dalam bidang perniagaan.

"Di samping itu, kami juga mambantu menyediakan bantuan modal awal termasuk urusan permohonan peruntukan serta bantuan daripada agensi kepada ahli yang berhasrat untuk menceburkan diri dalam perniagaan secara kecil -kecilan untuk meningkatkan ekonomi mereka," katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain