Menurut beberapa pandangan, fesyen diistilahkan sebagai gaya berpakaian, kosmetik, tingkah la­ku dan sebagainya yang menjadi kegemaran serta ikutan ramai serta berubah mengikut masa.

Sementara berfesyen pula adalah menunjukkan atau mengikut sesuatu fesyen sama ada dalam cara berpakaian dan lain-lain.

Kebanyakkan latar belakang pe­reka terkenal dalam bidang fes­yen tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan minat mereka sejak kecil, diajar ibu yang bergelar tukang jahit atau tidak sengaja terlibat dalam industri itu.

Namun, ada pula mereka yang ‘kosong’ dalam bidang berkenaan tetapi berminat mendalami dunia fesyen dengan melanjutkan pelajaran di pusat-pusat pengajian atau akademi kerana melihat prospek masa depan industri fesyen.

Bagi penuntut Kolej Komuniti Yayasan Pendidikan Johor (YPJ) Batu Pahat, Diploma Kemahiran Malaysia Pentadbiran Fesyen dan Pakaian menawarkan ilmu yang lengkap terhadap bidang berke­naan menerusi pembelajaran selama tiga tahun tiga bulan.

Bermula dengan kursus Pembuatan Pakaian Wanita tahap satu dan dua masing-masing untuk tempoh enam bulan, tahap tiga kursus itu perlu dijalani penuntut selama setahun sebelum baki 15 bulan lagi untuk melengkapkan diploma berkenaan.

Malah, apa yang menarik, pada akhir semester pengajian, kese­mua penuntut kursus itu perlu mereka dan menjahit fesyen ma­sing-masing untuk diperagakan di hadapan orang ramai dalam pertunjukan fesyen yang diatur pi­hak pengurusan.

Bertempat di Batu Pahat Mall, baru-baru ini seramai 25 penuntut Diploma Kemahiran Malaysia itu persis pereka terkenal apabila mempamerkan bakat masing-masing menerusi rekaan yang dijahit serta diperagakan model.

Mata setiap penonton, ibu ba­pa dan rakan-rakan mereka seakan-akan terpukau dan terpesona dengan rekaan yang dipamerkan termasuk jahitan kemas untuk menepati tema berasaskan identiti yang telah ditetapkan.

Menurut Pensyarah Diploma Kemahiran Malaysia Pentadbiran Fesyen dan Pakaian, Khairul Fahmi Mohd. Kosni, pertunjukan fesyen itu adalah sukatan mata pelajaran yang perlu dipenuhi oleh penuntut tahun akhir sebagai projek mereka.

“Ia adalah syarat wajib untuk memperoleh diploma berkenaan selain penuntut perlu melengkap­kan latihan industri sama ada di kilang-kilang atau butik yang dipi­lih mereka.

“Selain itu, pertunjukan fesyen itu bagi melahirkan keyakinan penuntut sebelum terjun ke industri sebenar yang amat luas kerana kita perlu melahirkan golongan yang kreatif dan berkualiti untuk memenuhi kehendak pasaran kerja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada masa sama, Khairul Fahmi berkata, apa yang pen­ting program itu antara lain mahu menjadikan Kolej Komuniti YPJ Batu Pahat lebih dikenali dan mampu bersaing dengan kolej antarabangsa lain.