Beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, Osman antaranya mendakwa kerajaan negeri terdahulu gagal menyiapkan  121  buah  sekolah  agama sehingga  kerajaan  negeri pada masa kini terpaksa mengambil alih 77 buah sekolah yang belum siap dan 18 yang masih dalam tempoh tanggungan kecacatan demi memastikan tidak menjadi projek ‘gajah putih’.

Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu turut mendakwa kerajaan negeri kini menerusi Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) terpaksa menanggung kos sehingga kira-kira RM240 juta melibatkan pembayaran tertangguh selama 10 tahun bermula pada 2015.

Selain itu, keputusan kerajaan negeri dipertikaikan kerana dikatakan membuat pertimbangan melantik syarikat yang jelas tidak berkemampuan menyiapkan projek SAKJ hingga kerajaan negeri kemudiannya terpaksa menanggung ganti rugi.

“Saya menyangkal dakwaan tersebut. Kenyataan yang dikeluarkan tersebut adalah tidak lengkap, tidak tepat dan bertujuan memburuk-burukkan pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

“Pertama, pembinaan dan penyiapan SAKJ semasa pentadbiran saya dibahagikan kepada lima fasa. Sebanyak 77 buah SKAJ yang  beliau (Osman) sebutkan telah disiapkan dalam Fasa 1 hingga 4 dan proses penyerahan  kunci  juga telah dijalankan secara berperingkat-peringkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE