Melangkah ke perkampungan tradisional nelayan yang rata-ratanya dihuni kaum Cina itu, persekitarannya agak unik kerana dibina atas air, namun kelihatan moden.

Rumah yang didirikan pula rapat-rapat menggunakan binaan kayu dan batu, namun terdapat hotel, resort, calet serta penginapan untuk disewa yang berdekatan kediaman penduduk. Di situ terdapat beberapa premis perniagaan dan kedai runcit turut dibuka di kampung tersebut.

“Sewa basikal atau motosikal? Kalau mahu, sewa satu jam RM15, tapi kalau sewa sehari RM100. Ikut mana lu sukalah, boleh ‘round’ tengok-tengok kampung atau pekan.

“Kalau mahu pergi Pulau Kukup tambang bot RM5. Ambil masa lima minit sahaja,” sapa seorang lelaki Tionghua kepada Utusan Malaysia semasa me­ngunjungi kampung tersebut, baru-baru ini.

Jelas lelaki separuh abad itu, mereka yang berminat boleh menunggang basikal atau motosikal melihat pemandangan dan persekitaran kampung tersebut yang berhadapan dengan Pulau Kukup.

Menurut Ketua Kampung ter­sebut, Lim Tiam Hock, 61, Kampung Air Masin sudah berusia 160 tahun dan merupakan antara tarikan utama di Kukup yang terletak dalam Mukim Air Masin.

“Terdapat 215 rumah dan 35 resort serta tempat penginapan di kampung ini. Tiga lagi resort sedang dibina, sekali gus menjadikan semuanya 38 resort dan tempat penginapan di Kampung Air Masin nanti dengan pakej satu malam RM180 termasuk empat kali makan dalam sehari.

“Biasanya kampung ini penuh pada setiap hujung minggu dikunjungi pelancong Singapura dan China. Mereka juga akan ke Pulau Kukup untuk berjalan-jalan,” katanya.

Selain kampung tersebut, pekan Kukup yang terletak bersebe­lahan hanya merupakan pe­nempatan kecil dengan beberapa deretan kedai makanan laut.

Istimewanya, terdapat Termi­nal Feri Antarabangsa Kukup (TFAK) yang menghubungkan Ku­kup dan Tanjung Balai, Kari­mun, Indonesia yang hanya me­ngambil masa 30 hingga 40 minit.

TFAK boleh dianggap ‘jantung’ bagi pekan Kukup kerana menerusi Tanjung Balai, penum­pang boleh ke beberapa kota besar di Indonesia dengan menaiki feri atau penerbangan secara terus.

Terminal tersebut paling menjadi tumpuan serta merupakan antara pintu masuk dan keluar utama di negeri ini, khususnya bagi warga Indonesia yang bekerja di beberapa negeri di negara ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Perkhidmatan syarikat Ku­kup Ferry yang mengendalikan perjalanan Kukup-Tanjung Balai mencatatkan kira-kira 500 pengguna ke Tanjung Balai setiap hari, namun apabila musim pe­rayaan, jumlah pengguna melebihi 2,000 orang.

Selain Kampung Air Masin dan TFAK, satu lagi keistimewaan ialah Pulau Kukup yang juga dikenali sebagai Taman Negara Johor Pulau Kukup (TNJPK).

Berkeluasan 647 hektar, pulau ini diliputi hutan paya bakau dan 800 hektar kawasan dataran lumpurnya.

Diisytiharkan sebagai kawa­san hutan paya bakau yang di­iktiraf dan dilindungi, Tanah Lem­bap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) ini merupakan pulau paya bakau terbesar di dunia.

Banyak aktiviti boleh dilakukan semasa berkunjung ke pulau berkenaan, antara melalui jambatan gantung yang agak tinggi dan melihat tapak semaian pelbagai tumbuhan untuk tujuan pembelajaran dan kajian dipanggil Arboretum.

Jangan melepaskan peluang menaiki menara pemerhati untuk meninjau pemandangan di pulau tersebut yang menghijau indah.

Sekiranya pengunjung balik pada waktu petang, bot agak sesak kerana pelawat akan pulang sebelum TNJPK ditutup pukul 5 petang.

Justeru, jika tidak mahu ber­sesak, eloklah pulang lebih awal.

Kunjungan ke Kukup pasti memberi pengalaman indah yang sentiasa mengalu-alukan keha­diran pengunjung.