Juadah wajib itu amat mudah didapati seawal pagi bersama-sama nasi lemak atau kuih-muih yang lebih sinonim dengan pembuka selera masyarakat majmuk di negara ini, tetapi itulah unik­nya Muar yang berkeluasan lebih 2,300 kilometer persegi.

Makanan enak yang lain juga mudah didapati di daerah ini seper­ti asam pedas telur ikan mayong, mi bandung dan pelbagai lagi makanan tradisional masyarakat setempat termasuk kopi 434.

Lantaran itu, peluang menjelajah ke beberapa destinasi pelancongan yang diatur Tourism Johor dinikmati sepenuhnya oleh kira-kira 200 ahli Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) negeri ini dan Melaka serta Persatuan Penulis Pelancongan Malaysia (TRAM) baru-baru ini.

Setibanya ahli rombongan di Pu­sat Informasi Pelanco­ngan (TIC) di Laman Oleh-Oleh Maha­rani, paluan kompang dan persembahan seni silat Muar menyambut kedatangan mereka yang dibawa mengikuti program Fam Trip Pelancongan Muar selama dua hari itu.

Selesai pelancaran Muar Travel Map 1.0, rombongan dibawa ke destinasi pertama, iaitu lukisan potret mural 'The Loving Sisters' yang tersergam indah dengan ke­tinggian 11.80 meter dan 9.75 meter lebar di Jalan Bakri yang turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai lukisan terbesar di negara ini pada Julai 2016.

Seterusnya, ahli MATTA kedua-dua negeri itu bersama-sama para penulis pelancongan ditunjukkan pula mural bertemakan akar pera­bot dunia yang menggambarkan betapa besarnya sumbangan eks­port perabot negara oleh pemain industri di daerah itu, sebelum peserta singgah sebentar melihat keunikan Kuil Hindu di bandar ini.

Setelah pelbagai sudut gambar dirakam para peserta, perjalanan diteruskan ke Pantai Leka di Parit Jawa yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Bandar Maharani Bandar Diraja untuk mengisi perut dengan menu asam pedas, kupang berserta ulam-ulaman.

Sudah puas menghirup kuah asam pedas sehingga ke titisan terakhir, ahli rombongan dipertontonkan pula persembahan ta­rian singa dan naga Kung Seng Keng yang merupakan juara bertahan dalam Kejuaraan Dunia Ta­rian Singa.

Perjalanan menaiki bas yang diiringi anggota polis trafik bagi melancarkan pergerakan pula ke Dataran Tanjung Emas untuk menyelusuri Sungai Muar menaiki River Cruise dan melawat Muar Art Gallery.

Tetapi sebelum itu, rata-rata ahli rombongan terpukau seketika apabila berpeluang singgah di tarikan terbaharu yang terdapat di Muar, iaitu Desa Keroma Eco Resort yang terletak di Parit Keroma.

Keindahan pemandangan hijau dan keasyikan ditiup angin sepoi-sepoi bahasa membuatkan ada antara mereka seolah-olah enggan berganjak di kawasan seluas hampir satu hektar yang menempatkan beberapa buah chalet dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan seperti mandi lumpur dan melihat proses ternakan kupang.

Sebagai penutup pada hari pertama, jelajah yang turut disertai Pegawai Daerah Muar, On Jabbar; Pengarah Tourism Johor, Abdul Malik Ismail dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Muar (MTA), Salehuddin Satar, para peserta dijamu dengan sup istimewa di Amir Soup House yang juga antara 'signage' daerah itu.

Keesokannya, setelah selesai bersarapan bersama-sama komu­ni­ti pelancongan Muar di R&H Ca­fe Station, rombongan me­nyambung jelajah ke Donhu Jura­ssic Garden yang dibuka secara percuma kepada orang ramai untuk melihat replika dinasour yang pada asalnya hanya bertujuan untuk menghiasi kebun pokok semaian.

Kira-kira sejam meluangkan masa di situ, perjalanan seterus­nya adalah ke Pagoh untuk melawat pusat semaian Tankok Leyong yang beroperasi sejak 1976 dan Ladang Herba Nasuha untuk mengetahui produk kesihatan di tapak sekitar ladang dan menikmati menu nasi beriani herba bersama-sama pelbagai jenis minuman kesihatan.

Destinasi terakhir, Galeri Darurat Bukit Kepong terletak kira-kira 35 kilometer dari Plaza Tol Pagoh yang dilawati peserta banyak memberikan maklumat terutamanya pada zaman hitam negara diancam komunis yang pastinya menimbulkan rasa syu­kur, khususnya bagi generasi muda hari ini.

Peristiwa berdarah 68 tahun lalu itu kekal menjadi detik me­n­­­debarkan buat penduduk kam­pung ketika itu sehingga 25 anggota polis, isteri, anak dan penduduk lain terkorban apabila dikepung kira-kira 185 pengganas komunis pada 23 Februari 1950.

Jadi, kepada anda yang belum ada destinasi hujung minggu untuk diisi dengan kos yang minimum dan perjalanan tidak begitu jauh dari ibu negara, mulakan ca­rian google untuk ke tempat-tempat yang dinyatakan. Jumpa anda hujung minggu ini!