Namun, tidak bagi pengumpulnya kerana setiap sampul raya berkenaan adalah sangat ber­harga dan mempunyai nilai tersendiri.

Semakin lama dan unik sampul raya itu termasuk yang boleh diimbas menerusi aplikasi tele­fon pintar serta akan mengeluarkan lagu raya hinggalah yang bertakhtakan batu swarovski, semakin ‘mahal’ nilainya.

Sampul raya berkenaan kebia­saannya dikeluarkan oleh bank, syarikat perniagaan, pasar raya terkemuka, butik dan pengeluar kenderaan menampilkan ciri-ciri unik tersendiri termasuk dari segi reka bentuk dan kualiti kertas yang digunakan.

Jangan terkejut wujudnya Kelab Pengumpul Sampul Duit Raya yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sejak 2016 dan kini mempunyai lebih 1,000 ahli di negara ini.

Salah seorang daripada mereka adalah guru pendidikan khas, Mastura Mohd. Rasul, 37, yang mula mengumpul sampul raya berkenaan secara serius sejak tiga tahun lalu.

“Saya mula berjinak-jinak de­ngan hobi baharu ini selepas me­ngetahui kewujudan kelab ini selepas menontonnya dalam te­levisyen.

“Bermula dari situ timbulnya minat untuk mengumpul sampul raya ini dan kini saya mempunyai lebih 5,000 keping sampul raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali,” katanya ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Mastura yang tinggal di Larkin, di sini berkata, antara koleksi sampul raya paling istimewa dimilikinya adalah yang dikeluarkan oleh pengeluar kereta mewah BMW dan dia memperolehnya daripada adik beradiknya.

“Oleh kerana sampul raya BMW ini agak ‘rare’ ada yang sanggup membelinya dengan harga RM50 sekeping dan setakat ini saya telah menjualnya kepada tiga orang pengumpul,” katanya.

Mohd. Zaki Zainal, 35, dari Pasir Gudang pula mengakui mula serius mengumpul sampul raya sejak dua tahun lalu dan sanggup berbelanja lebih semata-mata untuk mendapatkan sampul raya berkenaan.

“Antaranya, saya membeli cin­cin swarovski dan gelang pandora untuk isteri menjelangnya hari raya dan setiap pembelian itu diberikan sampul raya termasuk yang bertakhtakan batu swarovski.

“Sampul lain yang unik saya ada setakat ini adalah daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang boleh mengeluarkan bunyi selepas diimbas menggunakan aplikasi telefon pintar,” katanya.