NOTIS mengenai penamatan operasi Balai Polis Bandar IOI dan diambil alih oleh IPD Segamat, Johor.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superitenden Raub Selamat berkata, operasi rondaan akan berjalan seperti biasa seperti sebelumnya melibatkan anggota IPD Segamat kerana keselamatan kira-kira 8,000 penduduk di kawasan tersebut tetap menjadi keutamaan pihaknya.

“Sebelum keputusan menutup operasi balai polis tersebut, satu kajian terhadap kesan tindakan tersebut telah dijalankan selain pihak kami juga telah mendapatkan maklum balas daripada penduduk setempat sebelum ini.

“Ianya tidak memberi kesan besar memandangkan jarak balai polis ini hanya terletak kira-kira lima kilometer dari IPD Segamat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Balai Polis Bandar IOI yang menempatkan tujuh anggota diketuai seorang ketua balai berpangkat Sarjan itu ditubuhkan pada Disember 2009.

Katanya, langkah menghentikan operasi balai itu antara lain bertujuan mengemas kini dan menambah baik penempatan anggota beberapa sektor di daerah ini selari matlamat meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pihak awam mengikut keperluan semasa.

Menurutnya, selepas ini orang ramai masih boleh membuat adu­an di IPD Segamat atau meng­hubungi talian 07-9312222 dan Hot Line IPD Segamat 07-9324222.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan agar orang ramai tidak menyebarkan berita palsu menerusi media sosial kononnya penutupan balai polis itu menjejaskan keselamatan penduduk.

“Kawasan tersebut bukanlah kawasan panas dan rondaan selama 24 jam dilakukan tujuh anggota balai berkenaan dengan dibantu anggota pelbagai unit dari IPD Segamat di sekitar penem­patan penduduk sebelum ini.

“Namun selepas ini, rondaan akan diteruskan seperti biasa oleh anggota dari IPD Segamat di kawasan tersebut dan dakwaan keselamatan penduduk terjejas adalah tidak benar,” katanya.