Justeru, hubungan akrab antara kedua-dua pihak dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bagi mencungkil bakat serta potensi murid-murid dapat dilakukan dengan lancar dan mencapai kejayaan.

Bagi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Permas Jaya 5 (SKPJ5), Mohani Arifin berkata, kecemerlangan murid bukan hanya diukur daripada pencapaian akademik, malah keterlibatan mereka secara aktif dalam aktiviti kokurikulum.

“Sejak dilantik menjadi guru besar di sekolah ini beberapa bulan lalu, saya mahu anak-anak murid saya maju dan cemerlang dalam kedua-dua aspek ini, iaitu akademik dan kokurikulum,” katanya dalam majlis Jaya Waris Gemilang Murid Tahun 6 2018, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pada tahun ini seramai 32 murid sekolah tersebut akan menduduki PPSR.

Sementara itu, Pegawai Fasilinus Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Mohd. Ermy Mohd. Kasah yang dijemput untuk memberi motivasi kepada murid-murid turut mengakui permuafakatan dan kerjasama yang baik antara pihak sekolah dan ibu bapa mampu membawa kecemerla­ngan kepada anak-anak mereka.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan murid-murid dan ibu bapa yang terlibat bahawa sistem penilaian baharu, iaitu Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang diguna pakai sekarang berbeza berbanding Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebelum ini.

“Sebelum ini, murid-murid yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR mungkin berpeluang cerah untuk diterima masuk ke sekolah berasrama penuh.

“Tetapi dalam PPSR, murid-murid yang mendapat 3A dan aktif dalam bidang kokurikulum pun berpeluang diterima masuk ke sekolah berkenaan. Penilaian yang diguna pakai tidak semestinya hanya cemerlang dalam bidang akademik, tetapi lebih menyeluruh,” katanya.

Yang turut hadir pada majlis tersebut, Pengerusi Majlis Permuafakatan Ibu bapa dan Guru Tahun 6, Nordin Sarman yang juga bekas guru di SKPJ5 dan baru bersara.