Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, hampir 80 pera­tus kerja telah siap dan dijangka boleh disempurnakan menjelang pertengahan bulan depan sebelum kerja-kerja elektrikal dijalankan selepas itu.

“Saya difahamkan kontraktor yang dilantik masih belum menerima bayaran dan saya akan menghubungi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) agar bayaran enterim dapat dipercepatkan.

“Saya harap kemudahan ini dapat disiapkan dengan segera bagi memastikan lebih 1,000 jemaah di masjid ini dapat beribadah de­ngan selesa selain menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan,” katanya selepas melawat dan meninjau kerja-kerja menaik taraf masjid tersebut, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Segamat, Miswan Yunus; Jurutera daerah, Jabatan Kerja Raya Segamat, Azman Ismail dan Imam Masjid Al-Husna, Abdullah Omar.

Ayub yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Pene­rangan negeri berkata, kerja-kerja menaik taraf masjid tersebut melibatkan penggantian keseluruhan bumbung, siling dan sistem pendawaian serta pendi­ngin hawa telah dimulakan sejak awal Jun lalu.

Sementara itu, Abdullah ber­harap kerja-kerja menaik taraf masjid itu dapat disiapkan segera kerana terdapat pelbagai aktiviti yang telah dirancang untuk dilaksanakan, termasuk sambutan Maulidur Rasul.

“Buat sementara waktu, jemaah terpaksa menunaikan solat fardhu di balai Islam berhampiran masjid selain menumpang di surau Kolej Vokasional Segamat untuk menunaikan solat Jumaat.

“Saya mewakili jemaah masjid ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Ayub, JKR dan MAINJ serta pewakaf yang menyumbangkan 12 unit pen­dingin hawa semata-mata untuk keselesaan jemaah,” katanya.