Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, kemudahan itu disediakan bagi PPD menjayakan program-program di luar daerah masing-masing.

“Ini akan memudahkan PPD bergerak melaksanakan sebarang aktiviti,” katanya berucap dalam Majlis Makan Malam Kerli­pan Permata dan Anugerah Kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Dewan Jubli Intan di sini malam tadi.

Yang turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Pontian, Zainal Buang, Ketua Penolong Pegawai daerah, Abdul Hakim Manap dan Timbalan Pegawai Pendidikan daerah, Zaidi Ahmad.

Dalam majlis itu, sembilan pelajar cemerlang STPM dan 15 pelajar cemerlang SPM meneri­ma sijil penghargaan dan sagu hati disampaikan Hasni sebagai menghargai kejayaan mereka.

Mereka termasuk Lin Xin Hua pelajar cemerlang Berkeperluan Khas peringkat kebangsaan bagi peperiksaan STPM 2016 dari Kolej Tingkatan Enam Pontian (KTEP) dan Tong Siew Wen, pelajar terbaik SPM 2016 peringkat negeri.

Dalam pada itu, Hasni gembira dengan kejayaan yang dicapai sekolah-sekolah di bawah PPD Pontian yang meraih tempat ketiga di peringkat negeri.

“Moga kejayaan ini menjadi penyuntik semangat dan dorongan pelajar-pelajar tahun ini untuk melakar lebih banyak pencapaian yang boleh menjadi kebangaan masyarakat tempatan,” ujarnya.

Beliau berharap, guru-guru akan terus menyumbangkan bakti mereka dengan penuh gigih dengan tidak mengenal putus asas selain bersedia dengan kerenah pelajar-pelajar generasi baharu.

Sementara itu, beliau berkata, golongan pendidik akan terus menjadi agen perubahan bagi melahirkan lebih ramai modal insan yang dapat meneruskan agenda pembangunan negara bagi memenuhi Tranfomasi Nasional 2050 (TN50).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri berkata, komitmen dan kesungguhan mereka banyak mengubah kehidupan masyarakat.

“Tidak dapat dinafikan pendidik telah banyak mencurahkan segala ilmu yang ada bagi memastikan pelajar memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.